• Jose Mourinho Puji De Gea

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    LONDON – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho memuji persembahan David de Gea sambil melabelkannya sebagai penjaga gol terbaik dunia selepas pasukannya menang 3-1 ke atas Arsenal awal pagi tadi.

    Kemenangan itu menyaksikan United kini hanya ketinggalan lima mata di belakang pendahulu liga, Manchester City yang berpeluang menjarakkan kembali jurang kepada lapan mata sekiranya berjaya menumbangkan West Ham United malam ini.

    Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Emirates itu, anak buah Mourinho ternyata unggul berada di depan menerusi dua gol awal Antonio Valencia pada minit keempat dan Jesse Lingard enam minit kemudian.

    Meskipun Arsenal cuba bangkit untuk memburu gol, De Gea jelas berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menafikan beberapa percubaan merbahaya penyerang tuan rumah sebelum mereka akhirnya meraih satu gol hasil percubaan Alexandre Lacazette empat minit selepas separuh masa kedua bermula.

    Kebangkitan yang diharapkan penyokong tuan rumah tidak kesampaian apabila Lingard sekali lagi mencetak namanya selaku penjaring pada minit ke-63 untuk memastikan tiga mata berharga kekal dibawa pulang ketika pemain tengah United, Paul Pogba dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Hector Bellerin.

    “Anda memerlukan penjaga gol seperti De Gea untuk mencapai kemenangan. Usaha keras pemain sungguh mengagumkan,” kata pengurus yang berasal dari Portugal itu.

    Mengulas mengenai layangan kad merah Pogba, Mourinho berkata, Arsenal juga seharusnya bermain dengan 10 pemain selepas Laurent Koscielny menerjah keras ke atas ayam tambatannya, Romelu Lukaku.

    “Saya tidak tahu,” katanya. “Saya mahu anda menilai sendiri terjahan keras Koscielny ke atas Lukaku. Begitupun, saya gembira cara kami bermain pada hari ini (awal pagi tadi).

    “Arsenal pasukan yang bagus terutama ketika melancarkan serangan, namun pemain saya berjaya menghalang percubaan pemain tuan rumah.

    “Kami berhak meraih kemenangan ini dan mereka harus diberi pujian. Walaupun saya tidak terlalu fasih berbahasa Inggeris, tetapi ingin saya katakan mereka hebat, fantastik dan layak menerima tiga mata,”katanya. – AFP/myMetro Online

    Subjects:

  • No Comment to " Jose Mourinho Puji De Gea "