• JKR Perlu Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir – Fadillah

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat negeri dan daerah perlu bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jurutera JKR turut dimaklumkan mengenai prosedur operasi standard (SOP) ketika musim banjir dengan melakukan pemantauan secara dekat di kawasan.

    Memetik laporan Utusan Borneo, katanya, arahan telah dikeluarkan kepada jurutera JKR mengenai SOP untuk sentiasa bersiap siaga.

    “Kita sudah keluarkan arahan kepada jurutera-jurutera JKR mengenai SOP supaya mereka sentiasa bersiap siaga dan pantau secara dekat serta ramalan cuaca.

    “Ia bukan sahaja di negeri-negeri yang dilanda banjir ketika ini tetapi semua negeri yang berpotensi banjir berdasarkan sejarah sebelum ini,” katanya.

    Menurut Fadillah, kementerian telah mewujudkan bilik bencana bagi memantau situasi semasa dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Jelasnya, kementeriannya turut melantik syarikat di peringkat kerajaan untuk memberi tumpuan kepada kawasan cerun agar dapat diperbaiki dan menyelesaikan masalah berisiko tinggi. – Sarawakiana
  • No Comment to " JKR Perlu Siap Siaga Hadapi Kemungkinan Banjir – Fadillah "