• Jihad Perangi Dadah

    Published: Sunday, 3 December 2017
    A- A+

    PUTRAJAYA - Semua pihak termasuk institusi masyarakat dan keluarga perlu menggerakkan jihad melawan gejala dadah secara berhabis-habisan terutama melibatkan dadah baharu jenis sintetik yang mampu membuatkan pengambilnya menjadi seperti mayat hidup atau zombie.

    Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, kerajaan dalam masa sama akan menggunakan pendekatan yang lebih drastik dalam menangani gejala itu daripada terus menular di negara ini.

    “Kita di peringkat kerajaan telah mengadakan mesyuarat berhubung gejala dadah ini dan kita mahu memeranginya berhabis-habisan. Salah satu cadangan saya adalah untuk kembali menamakan dadah sebagai najis.

    “Seterusnya, kita perlu menggerakkan tindakan secara berhabis-habisan. Kita semua mesti mengadakan satu jihad untuk memerangi dadah kerana gejala itu membimbangkan sehingga ada manusia yang menjadi seperti zombie,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan kira-kira 1,000 peserta Larian Run For Love 2017 anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Taman Botani, di sini hari ini.

    Beliau mengulas laporan Mingguan Malaysia hari ini berhubung trend pengedaran dadah­ di negara ini yang semakin membimbangkan apabila satu dadah baharu jenis sintetik yang bukan sahaja mengkhayalkan ma­lah mampu membuatkan pengambilnya menjadi seperti mayat hidup atau zombie, kini dikesan kian agresif dijual di sekitar ibu negara.

    Dadah yang diberi nama panggilan mushroom atau khat itu semakin mendapat sambutan khu­susnya dalam kalangan pe­ngunjung kelab-kelab malam dan dijual dengan harga tinggi iaitu RM300 untuk lima gram. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Jihad Perangi Dadah "