• "Jangan Sampai Kami Heret Beliau Ke Balai Polis"

    Published: Saturday, 9 December 2017
    A- A+

    AMPANG JAYA: "Kami akan terus buat laporan selagi polis tidak ambil tindakan tegas terhadapnya dan jika perlu, kami sendiri sendiri akan heret beliau ke balai polis kerana kenyataan beliau yang terlalu biadap.

    Itu amaran dilaungkan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah kepada Datuk Zaid Ibrahim kerana menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi Twitter baru-baru ini.

    Azwanddin berkata, pihaknya mahu polis untuk mengambil tindakan segera terhadap Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana kenyataannya itu seolah-olah satu cubaan untuk menghasut pemikiran rakyat dan memecah belahkan hubungan baik antara kaum.

    "Kenapa baru sekarang? Ketika sudah hampir pilihan raya? Jelas kenyataan yang dikeluarkannya itu bukan tidak disengajakan.

    "Kita nampak ini adalah satu cara beliau untuk memecah belahkan rakyat, mengheret rakyat untuk memburuk-burukkan antara satu sama lain.

    "Beliau semakin terdesak dan mula menggunakan strategi seperti ini untuk menghilangkan rasa hormat dan kepercayaan antara kaum-kaum yang ada di negara ini khususnya Melayu dan Cina," katanya selepas membuat laporan terhadap Zaid di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, hari ini.

    Selain JMM, enam badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan terdiri daripada Kelab Ahli Parlimen Belia Selangor, Persatuan Kebajikan San Chuan, Persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Bukit Ampang Saujana, Persatuan Komuniti Persahabatan Ampang, Persatuan HATA Industrial Park Pandan Mewah dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Parlimen Pandan turut bersama beliau membuat laporan polis.

    Menurut Azwanddin, tindakan Zaid sangat tidak wajar kerana perbezaan fahaman politik mendorong beliau menjadikan Sultan Selangor sebagai mangsa agenda politiknya.

    "Beliau bankrap dalam perniagaan, tetapi saya harap Zaid tidak gunakan 'otak bankrapnya" untuk mengheret anak muda dan orang Islam memburuk-burukkan antara satu sama lain khususnya institusi raja-raja Melayu.

    "Kita mahu polis segera ambil tindakan terhadap Zaid, jangan sampai JMM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu lain berhimpun di hadapan rumah beliau.

    "Ini amaran tegas saya kepada beliau (Zaid), kita tak malu dan tak segan untuk ke rumah beliau dan heret beliau ke balai polis kerana kenyataannya itu terlalu biadap," tegas Azwanddin.

    Pada 4 Disember lalu, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyiarkan temu bual eksklusif Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap masyarakat Bugis.

    Sultan Sharafuddin Idris Shah menerusi temubual itu menyatakan kebimbangan baginda dengan tindakan pihak-pihak tertentu yang sengaja mengeksploitasi isu kaum, agama dan lain-lain perkara sensitif dalam usaha meraih sokongan pengundi dalam pilihan raya umum akan datang.

    Titah baginda, tindakan seumpama itu dilihat akan meletakkan negara ke arah kehancuran yang mana isu itu sentiasa menjadi perkara yang dibincang serta dibimbangkan sembilan raja-raja Melayu di negara ini.

    Bagaimanapun, pandangan baginda itu dipertikaikan oleh Zaid apabila beliau menegur baginda supaya berhati-hati dalam berkata-kata.

    "Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar," kata Zaid menerusi Twitter. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " "Jangan Sampai Kami Heret Beliau Ke Balai Polis" "