• Jangan perkecil keupayaan ESSCOM

    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    BELURAN: Rakyat negeri ini khususnya di kawasan pantai timur diingatkan supaya tidak memperkecilkan keupayaan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam mempertahankan keamanan negara.

    Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, turut mengingatkan orang ramai agar tidak menjadi tali barut pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memusnahkan keamanan negara, khususnya di Sabah.

    Beliau berkata, ini kerana sejak ditubuhkan selepas insiden pencerobohan Lahad Datu di Kampung Tanduo pada tahun 2013, ESSCOM melakar banyak kejayaan khususnya dalam mematahkan cubaan penculikan dari negara jiran.

    "Jangan jadi seperti pembangkang di negara ini yang memperkecilkan keupayaan pasukan keselamatan dalam memperkukuhkan aspek keselamatan tetapi berilah sokongan sepenuhnya terhadap kesungguhan mereka (ESSCOM) dalam memastikan keselamatan negeri ini terjamin," katanya.

    "Keberkesanan ESSCOM menjaga keselamatan perairan sepanjang 1,700 kilometer dari Tawau hingga ke Kudat perlu diberi pujian dan rakyat sewajarnya memberi kerjasama berterusan kepada ESSCOM secara," katanya ketika merasmikan Program Semarak Rakyat Bersama ESSCOM, di Muara Beluran, di sini, malam tadi.

    Yang turut hadir ialah Komander Kawasan ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali; Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Noor Alam Khan Abdul Wahid Khan dan Penolong Pegawai Daerah Beluran, Abdul Rahman Talipuddin.

    Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, rakyat tidak boleh leka dan menyerahkan tanggungjawab menangani masalah keselamatan kepada pasukan keselamatan semata-mata sebaliknya bersama-sama menjaga keselamatan demi kepentingan bersama.

    Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa kerajaan persekutuan sentiasa memberi keutamaan kepada Sabah khususnya ESSCOM dalam melengkapkan pasukan itu dengan peralatan canggih demi menjamin keamanan negeri ini.

    Terdahulu, Hazani berkata generasi muda perlu mempertahankan keselamatan negeri ini demi menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50) negara.

    "Hanya dalam tempoh 30 tahun sahaja lagi untuk mencapai sasaran TN50, tanpa keselamatan, ekonomi negara tidak akan meningkat dan generasi muda pada masa inilah yang wajar mengambil tanggungjawab bersama menjaga keselamatan dan keamanan negara ini," katanya.-BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan perkecil keupayaan ESSCOM "