• Jangan Pendam Perasaan, Luahkan

    Reporter: Yusz Man
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    SUKA memendam perasaan dan tiada masa berkongsi masalah dengan keluarga mahupun rakan menjadi antara faktor wanita lebih cenderung menghidap masalah mental berbanding lelaki.

    Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, ia berbeza dengan lelaki yang lebih suka berbual dan mempunyai masa untuk bersama rakan selepas waktu bekerja.

    Katanya, ia mendorong mereka untuk meluahkan masalah dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

    "Wanita pula tidak suka berbual apabila mempunyai masalah. Mereka pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja dan masalah dipendam menjadikan tekanan berterusan ditambah faktor hormon (haid).

    "Ini dilihat faktor menyebabkan wanita lebih berisiko untuk menghidap masalah mental berbanding lelaki. Tanda-tanda penghidap adalah suka menyendiri, tidak mahu bercakap dan termenung.

    "Masalah kesihatan ini boleh bermula dari umur 17 tahun," katanya pada sidang media selepas Majlis Sambutan Kesedaran Kesihatan Mental dan Ambo Nok Sihat Peringkat Negeri Kelantan 2017 di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, hari ini.

    Majlis dirasmikan Ketua Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Azman Ismail.

    Hadir sama, Pengarah HRPZ II Datin Dr Selasawati Ghazali.

    Dr Ahmad Razin menjelaskan kesihatan mental bermaksud kebolehan mengekalkan hubungan harmoni dengan orang lain, kebolehan mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebolehan menyumbang kepada masyarakat.

    Bagi memastikan kakitangan kesihatan sihat mental, jabatan itu melalui Unit Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar (KPAS) mengadakan saringan kesihatan di peringkat ibu pejabat, hospital dan pejabat kesihatan daerah.

    "Tahun ini, ujian saringan kesihatan mental (DASS) dijalankan ke atas 14,000 kakitangan kesihatan Kelantan dan 90 peratus daripadanya tidak mempunyai masalah kesihatan mental.

    "Hanya 10 peratus dikenal pasti berisiko dan kita gerakkan 366 kumpulan Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) sebagai sokongan," katanya.

    Pada masa sama, pihaknya bekerjasama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk mewujudkan KOSPEN di masjid untuk beri latihan kesihatan dan bantu masyarakat.-hmetro

    Subjects:

  • No Comment to " Jangan Pendam Perasaan, Luahkan "