• Jangan Jadi 'Virus' Di Jabatan Kerajaan

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUCHING: Setiap penjawat awam perlu mengelak menjadi 'virus' di jabatan masing-masing kerana boleh menggugat pelaksanaan dasar kerajaan secara berkesan, kata Setiausaha Persekutuan Sarawak Dato' Mansor Man.

    Beliau berkata, virus yang membawa maksud mencemarkan nama dan imej jabatan itu juga akan merugikan masa dan kos kerajaan serta rakyat.

    "Kita sebagai penjawat awam perlu memberi keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan yang lebih jitu untuk rakyat.

    "Perkhidmatan yang disampaikan haruslah cepat dan cepat bagi mengelak kerugian masa serta kos kepada pelanggan," katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Imigresen Malaysia Peringkat Negeri Sarawak 2017 di sini, hari ini.

    Menurutnya, penjawat awam juga perlu membuka minda dengan lebih luas melibatkan tanggungjawab yang diamanahkan.

    Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) umpamannya perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada integriti persempadanan dan pemantauan keselamatan yang terkandung dalam rangka pentadbiran kerajaan.

    "JIM bukan lagi soal menjaga pintu sempadan negara dan menguruskan warga asing semata-mata, malah kini sudah menjadi akses transnasional yang sangat kompleks serta meluas.

    "Globalisasi kemudahan dan kecanggihan teknologi dalam perjalanan manusia pada masa kini telah menuntut penyampaian perkhidmatan awam tanpa sempadan," ujarnya.-Sarawakiana



  • No Comment to " Jangan Jadi 'Virus' Di Jabatan Kerajaan "