• Jangan ambil mudah hak asasi setiap agama

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+
    KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini mengingatkan masyarakat pelbagai kaum di negeri itu agar tidak mengambil mudah peruntukan berhubung hak asasi setiap agama demi memastikan perpaduan yang berterusan dalam kalangan rakyat majmuk.

    Katanya peruntukan itu menjadi panduan dan rujukan semua bangsa dan agama di negara ini yang mewujudkan tali perpaduan.

    Justeru katanya, rakyat perlu menolak sebarang ekstremisme agama dan asabiah perkauman yang merupakan penyakit paling utama dalam perpecahan dan pergolakan rakyat.

    Perbezaan kaum, agama dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penyebab berlaku perpecahan dan perbalahan, namun perbezaan ini merupakan satu sifat semula jadi manusia yang harus dihargai dan saling dihormati, katanya pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Sarawak, di Dataran Perayaan Petra Jaya, di sini.

    Sambutan turut dihadiri pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak Tan Sri Bujang Mohd Noor.

    Mengulas lanjut, Abang Johari berkata menerusi perbezaan itu wujud semangat ingin berkenalan atau bertaaruf dan nilai itu menjadi agenda utama masyarakat bagi melahirkan satu keadaan yang kondusif dan harmoni.

    Katanya kestabilan yang wujud dalam sesebuah negara amat bergantung kepada keamanan, perpaduan dan keharmonian yang terjalin.

    Tema sambutan ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’ dengan jelas memperlihat peri pentingnya umat bersatu dalam apa sahaja keadaan bagi mencapai matlamat bersama, iaitu kesejahteraan negara, katanya.

    Sambutan itu disertai 5,279 umat Islam yang merangkumi 128 kontinjen pelbagai jabatan, agensi kerajaan, badan berkanun, pertubuhan agama Islam, masjid, surau dan pasukan beruniform. - Bernama
  • No Comment to " Jangan ambil mudah hak asasi setiap agama "