• Isu PM Dan PG Diperhalusi Ke Peguam Besar Negeri

    Published: Tuesday, 12 December 2017
    A- A+
    Isu Pemakai Menoa (PM) dan Pulah Galau (PG) merupakan isu hak tanah adat Bumiputera (NCR) yang sekian lama dibangkitkan, dan selama itu juga ia tidak menemui jalan penyelesaian yang jitu.

    Hal sedemikian memaksa kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Bertindak NCR dengan meletak Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai pengerusi.

    Jawatankuasa tersebut turut dianggotai oleh Datu Jaul Samion, Datu Ganie Ugay, Datu Thomas Akin Jelimin, Encik Francis Johen Adam, Encik Kilat Beriak, Encik Ding Seling, Encik Paul Raja, Encik Salang Manjan bertindak sebagai setiausaha.

    Jawatankuasa ini ditubuh bagi menangani masalah mengenai NCR khususnya PM dan PG. Ia bagi membincangkan dan mencari mekanisma yang lebih relevan agar NCR dapat diberi hak kepada penuntut tanah dan bersifat adil kepada semua kaum.

    Pada masa sama jawatankuasa memerlukan input terbaik daripada masyarakat Bumiputera supaya tidak berlaku percanggahan pendapat serta usaha ke peringkat seterusnya akan berjalan lancar.

    Menurut Uggah, seperti yang dilaporkan Utusan Borneo berkata, isu berkenaan akan diperhalusi ke peguam besar negeri. Sementara itu jawatankuasa sedang rancak membuat kajian dan perbincangan disegenap lapisan untuk memastikan sebarang pindaan Kanun Tanah Sarawak nanti adil kepada semua.

    Dalam masa terdekat jawatankuasa akan menemui peguam besar negeri dan memperhalusi isu PM dan PG dari segi undang-undang agar ia dapat dipinda dan memberi faedah kepada semua.

    Uggah turut menyatakan pada januari 2018, Majlis adat istiadat akan menemui ketua-ketua masyarakat Bumiputera untuk mendapat pandangan serta persetujuan mengenai tafsira PM dan PG.

    Memetik laporan akhbar Utusan Borneo, Jawatankuasa khas itu turut mengadakan perundingan dengan pelbagai pihak sebelum ini di mana semua cadangan diambil kira sebelum cadangan kepada kerajaan negeri mengenai pindaan Kanun Tanah Negeri yang perlu dibuat.

    Hakikatnya tindakan Abang Jo menubuh jawatankuasa khas bertindak NCR amat bertepatan dan memberi keadilan kepada semua penuntut ncr terutama PM dan PG. - A Halim Jantan

    Subjects:

  • No Comment to " Isu PM Dan PG Diperhalusi Ke Peguam Besar Negeri "