• Isu FELDA: Bukan Semua Dalam Pengetahuan PM

    Published: Tuesday, 26 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Keputusan Datuk Seri Najib Razak melantik Tan Sri Shahrir Samad sebagai Pengerusi FELDA bagi menggantikan Tan Sri Isa Samad, adalah bagi menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda agensi itu selama ini.

    Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali, berkata ia adalah satu langkah terkehadapan dilakukan Perdana Menteri dengan amanah supaya Shahrir 'masuk dan gali (go and dig in) dan kini terbukti, beberapa kes sudah dibongkar.

    Oleh itu, katanya, dalam kes terbaharu FELDA berhubung isu pertukaran hak milik tanah di Jalan Semarak adalah jelas dikesan dan diumumkan oleh kepemimpinan baharunya yang dilantik sendiri Perdana Menteri.

    Berikutan itu juga, kata pakar ekonomi itu, pelbagai pihak terutama pembangkang tidak boleh menyalahkan Perdana Menteri dalam isu pertukaran hak milik tanah di Jalan Semarak itu kerana sebarang keputusan berhubung perkara itu adalah di bawah tanggungjawab kepemimpinan agensi berkenaan.

    "Saya rasa inilah juga antara matlamatnya (pelantikan Shahrir), masuk dan gali ('go and dig in'). Kita kena lihat perkara ini secara rapi untuk mengenal pasti masalah bagi mencari penyelesaian.

    "Sekarang ini, mereka (Shahrir) sudah jumpa masalah dan memaklumkan (kepada orang ramai). Jelas sekali di sini, tiada bukti boleh mengaitkannya dengan kesalahan Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

    BH dalam laporan pada 21 Disember lalu melaporkan, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak, di ibu kota, yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

    Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya.

    Pendedahan itu mendapat pelbagai reaksi, malah Najib sendiri sudah mengarahkan Jabatan Perdana Menteri membuat audit forensik terhadap kes pemindahan hak milik tanah itu dalam tempoh sebulan bermula Januari ini.

    Prof Noor Azlan berkata, dalam isu ini, memang jelas kepemimpinan FELDA sendiri yang membuat keputusan mengenai isu tanah itu dan mereka seharusnya dipertanggungjawabkan.

    "Ungkapan "nothing to hide" atau 'tiada apa yang disorokkan' kini menjadi metafora kepada kecekapan tadbir urus dan ketelusan bagi satu-satu organisasi. Terkini ekonomi Malaysia dan pengurusannya semakin kompleks dan rumit.

    "Malaysia hari ini tidak sama dengan Malaysia pada zaman 1990-an. Adalah tidak betul jika kita beranggapan 'semua' keputusan adalah di tangan Perdana Menteri atau 'semua perkara yang berlaku di negara ini dalam pengetahuan beliau," katanya.

    Beliau berkata, untuk maju dan lebih pantas, pembuatan keputusan sebaiknya dapat dibuat secara bersama tertakluk pada tadbir urus yang teratur. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Isu FELDA: Bukan Semua Dalam Pengetahuan PM "