• Isu Cermin Gelap Harus Diselesai Segera

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Penduduk Sarawak khususnya di bahagian utara negeri ini terus dibelenggu dilema ketika melintas negara jiran kerana mereka terpaksa membayar saman sebanyak RM180 kepada anggota penguatkuasa negara jiran berhubung kesalahan penggunaan cermin gelap yang tidak dibenarkan di negara itu.

    Memetik laporan Utusan Borneo, peraturan cermin gelap yang dibenarkan untuk digunapakai di Malaysia adalah dengan Kadar Ketelusan Cahaya (VLT) bagi cermin depan adalah 70 peratus, manakala cermin sisi pemandu 50 peratus, cermin sisi belakang dan cermin belakang penumpang 30 peratus.

    Oleh yang demikian Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah telah meminta Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya menyelesaikan masalah berkenaan kerana ia menjadi kebimbangan penduduk yang melalui jalan tersebut.

    “Saya sudah menyuarakan masalah ini dalam sesi debat Parlimen lepas kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia supaya kereta Malaysia yang melintasi negara jiran agar tidak dikenakan undang-undang sama untuk negara jiran,” katanya.

    Jesteru, Hasbi berharap agar perkara tersebut dimasukkan dalam rundingan dua hala sebagai satu topik dalam perbincangan dan mencari jalan penyelesaian supaya tidak membebankan.-Sarawakiana
  • No Comment to " Isu Cermin Gelap Harus Diselesai Segera "