• Isu Baitulmaqdis: Hafiz Hamidun Hati-hati

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    RAMAI selebriti tempatan menzahirkan rasa kemarahan melalui media sosial susulan daripada tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengiktiraf Baitulmaqdis secara rasmi sebagai ibu negara Israel.

    Bahkan, ada juga sebilangan selebriti yang dilihat begitu lantang meluahkan pendapat mengenai isu tersebut.

    Namun, berbeza pula buat komposer dan penyanyi popular, Hafiz Hamidun yang lebih selesa mengambil pendekatan untuk lebih berhati-hati dalam hal itu.

    "Ramai saja yang bertanya kepada saya, kenapa tak Tweet atau beri respons di Instagram atau Facebook. Tapi, bagi saya, perkara sebegini memerlukan kita mengetahui faktanya.

    "Apa saja yang kita kongsi sekalipun, pada penghujungnya, kita memang perlu mempertahankan Baitulmaqdis sebagai kota suci. Bukan saja umat Islam, sebaliknya penganut Kristian dan orang Yahudi pun mengaku Baitulmaqdis sebagai bandar suci mereka," katanya pada Sinar Harian.

    Bukan bersikap enggan ambil peduli atau tidak cakna sebaliknya selebriti berusia 33 tahun ini memilih untuk tidak menjadi ekstrem.

    "Saya tak kata bila kita tak tulis dalam media sosial, tak semestinya kita tak menyokong.

    "Malah, ada yang lantang di media sosial tapi bukan bermakna dia tahu semua benda pun dan bila diam bukan pula bererti kita bodoh," katanya.

    Bagaimanapun, Hafiz akan meluahkan pendiriannya berhubung perkara itu apabila tiba masa yang sesuai nanti.

    "Buat masa ini, saya masih belum buat apa-apa posting berkaitan tapi saya sentiasa melihat pada isu dan pada masanya.

    "Saya tetap berasakan kita perlu mempertahankan perkara ini, cuma apa yang Trump katakan itu bukanlah pengakhiran atau betul-betul terjadi.

    "Cuma, jangan sampai bahasa yang kita keluarkan itu adalah salah, sehingga menjadi fitnah dan berlaku kesilapan fakta,” katanya.

    Beliau turut mengingatkan bahawa fakta penting dalam sesuatu kenyataan kerana di negara ini ada pelbagai bangsa dan agama, bukan saja orang Islam.

    "Jadi, sebelum membuat sesuatu kenyataan, penggunaan bahasa kita harus diperhati, bagi menjaga sensitiviti. Kita boleh mempertahankan ideologi, pandangan ataupun nak boikot sekalipun, tetapi penggunaan bahasa itu sendiri perlu menunjukkan pendirian kita," katanya.

    Bahkan, jelasnya, terdapat beberapa saluran lain juga boleh digunakan bagi meluahkan tanda bantahan masing-masing.- Sinar Harian

    Subjects:

  • No Comment to " Isu Baitulmaqdis: Hafiz Hamidun Hati-hati "