• Isteri mangsa bunuh-gilis kembali ke stesen petrol untuk upacara agama

    Reporter: Admin
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+
    JOHOR BAHRU: Stesen minyak tempat kejadian pembunuhan seorang lelaki berkaitan perselisihan kumpulan kongsi gelap di sini pada Ahad dikunjungi isteri mangsa yang mengadakan upacara keagamaan untuk mendiang, diketuai sami, kelmarin.

    Beberapa anggota polis turut berada di lokasi kejadian bagi mengawal keadaan.

    Mengikut kepercayaan masyarakat Tionghua, upacara sedemikian penting kerana roh seseorang yang mati secara tragik misalnya membunuh diri dan dibunuh akan berkeliaran di kawasan lain selepas insiden dan perlu dipanggil balik ke tempat asal bagi memastikan rohnya tenang.

    Dalam kejadian Ahad lepas, mangsa berusia lingkungan 30-an mati selepas ditikam, dilanggar dan digilis dengan sebuah kereta oleh sekumpulan empat lelaki.

    Kejadian berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di stesen berkenaan, sebelum didatangi suspek yang cuba menarik mangsa masuk ke dalam kereta mereka.

    Mangsa dilaporkan berjaya seketika meloloskan diri namun dilanggar dan digilis dengan kereta sebelum keempat-empat lelaki tersebut melarikan diri.

    Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kejadian itu berpunca daripada perselisihan 2 kumpulan kongsi gelap.

    Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata pihaknya mengenal pasti keempat-empat suspek dan usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan dan menahan mereka.

    Sementara itu, di Nirvana Memorial Centre, Jalan Gelang Patah-Skudai, beberapa anggota keluarga mangsa dilihat sibuk membuat persiapan untuk upacara penghormatan terakhir mangsa. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Isteri mangsa bunuh-gilis kembali ke stesen petrol untuk upacara agama "