• Istana Selangor Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Esok

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+
    Foto: Roslin Mat Tahir/BH Online


    KLANG: Istana Selangor akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad serta isteri memulangkan darjah kebesaran yang dikurniakan Sultan Selangor, esok.

    Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, berkata pihaknya belum menerima pengesahan rasmi mengenai perkara itu memandangkan hari ini ialah cuti umum negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor.

    "Saya tidak dapat mengesahkan perkara ini memandangkan hari ini cuti dan pejabat tutup. Esok saya akan semak dan keluarkan kenyataan rasmi mengenainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Penganugerahan Darjah dan Bintang Kebesaran sempena Hari Keputeraan Ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata tindakan Dr Mahathir yang didakwa memulangkan darjah kebesaran Sultan Selangor tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

    "Itu antara Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah (Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali) dengan istana, tiada kaitan dengan kerajaan negeri," katanya.

    Portal berita hari ini melaporkan Dr Mahathir sudah memulangkan dua darjah kebesaran pada Khamis lalu yang diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah, Klang.

    Jurucakap bekas Perdana Menteri itu dipetik berkata, darjah kebesaran yang dipulangkan ialah Darjah Kelas Pertama Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) (Kelas Kedua), membawa gelaran Datuk bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita.

    Jurucakap itu turut mengesahkan Dr Siti Hasmah mengambil tindakan sama dengan memulangkan darjah kebesaran yang diterima beliau.

    Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan memandang serius, murka dan amat kecewa dengan kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini yang dilihat cuba menghasut rakyat membenci, menghina dan memandang serong terhadap bangsa Bugis.

    Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais, berkata Sultan Selangor selepas berbincang dengan ahli Dewan, menganggap ucapan terbabit amat keterlaluan hingga boleh mencetuskan kekecohan dan huru-hara.- BH Online

    Subjects:

  • No Comment to " Istana Selangor Akan Keluarkan Kenyataan Rasmi Esok "