• Israel Lancar Pasukan Kereta Kebal Pertama Wanita

    Published: Saturday, 23 December 2017
    A- A+

    TEL AVIV – Demi pertahan kesucian Baitulmaqdis daripada jatuh ke tangan umat Islam, Israel mula melancarkan pasukan kereta kebal gempur pertama yang dikendalikan sepenuhnya askar wanita.

    Media Israel melaporkan, kejayaan pembentukan kumpulan sulung penggempur berkenaan sekali gus melonjakkan martabat wanita tempatan setanding tentera lelaki yang terkenal dengan kebiadaban menghadapi pejuang Palestin.

    Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilaporkan mewujudkan program latihan operator kereta kebal untuk sejumlah askar wanita terpilih malahan bakal dihantar untuk operasi di sempadan wilayah selatan negara haram Yahudi itu.

    “Mereka akan menjalani tempoh percubaan selama empat bulan. Kita berdiri atas sejarah. Untuk pertama kalinya, pingat operator kereta kebal akan disematkan di pakaian seragam tentera wanita IDF,” kata Kolonel Moran Omer.

    Ketua Kor Latihan Pasukan itu dipetik akhbar Times of Israel semalam memaklumkan bahawa, untuk kumpulan pertama asalnya mengandungi 15 askar wanita yang mengikuti program tempur medan tetapi dua disahkan gagal.

    Ini bermakna hanya berbaki 13 anggota sebelum mereka dikerah menyertai latihan intensif sejak awal Mac lalu dalam program cukup panjang dan rapi bagi dipindahkan ke markas pasukan armor Shizafon di wilayah Negev.

    Di situ, mereka dilatih untuk mengoperasikan kereta kebal penyerang model Merkava Mark 3 seberat 65 tan sebuah yang mampu memecut pada kelajuan maksimum 60 kilometer sejam dan diperkenalkan pihak IDF sejak 1989.

    Sejumlah 780 buah model ini pernah digunakan IDF untuk menghancurkan ramai pejuang Palestin ketika gerakan kebangkitan Intifada kali kedua dari tahun 2000 hingga 2005, Perang Lubnan 2006 dan konflik Gaza pada 2014.

    Selama beberapa bulan ke hadapan, pasukan khas askar wanita ini akan ditugaskan di perbatasan selatan Israel bergabung dengan Divisyen ke-80 angkatan darat serta bertanggung jawab atas gurun Negev dan Arava selatan.

    Pasukan kereta kebal tempur wanita ini menjadi contoh termaju yang bakal dikembangkan lagi untuk memberi kesempatan luas kepada golongan Hawa di Israel berperanan besar dalam IDF termasuk misi ketenteraaan medan.

    Model Merkava Mark 3 cukup digeruni tentera luar negara kerana dengan kos 10 juta shekel (RM12 juta) sebuah, ia berjaya menumpaskan pejuang Palestin yang lazimnya hanya bersenjatakan lastik batu kecil atau senjata ringan.

    Untuk rekod, selama lima tahun terakhir, trend tentera wanita di negara haram Zionis itu terus meningkat hingga lima kali ganda dan ia dijangka popular selepas Baitulmaqdis diiktiraf Amerika Syarikat sebagai ibu kota Israel.

    Pada 2012 lalu, hanya ada 547 askar wanita dalam IDF, namun sepanjang tahun ini jumlah tersebut meningkat menjadi sekitar 2,700 orang; sekali gus mengangkat imej wanita moden Yahudi mengatasi komuniti Arab Islam.

    Namun ada turut kritik terhadap program itu yang dikecam sebagai bentuk eksperimen sosial berbahaya. Program perintis IDF tersebut akan berakhir dan dinilai semula pada Mac 2018 depan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA

    Subjects:

  • No Comment to " Israel Lancar Pasukan Kereta Kebal Pertama Wanita "