• Iskandar Malaysia Raih Pelaburan RM244.46 Bilion

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU – Iskandar Malaysia mencatatkan pelaburan komited terkumpul berjumlah RM244.46 bilion antara 2006 dan 30 Sept, 2017, dengan 54 peratus daripada pelaburan berkenaan sudah direalisasikan, kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

    Beliau berkata pelabur tempatan menyumbang RM149 bilion atau 61 peratus daripada pelaburan komited terkumpul itu manakala baki RM95 bilion (39 peratus) adalah pelabur asing.

    Ismail berkata ini mencerminkan keyakinan pelabur yang berterusan di Iskandar Malaysia setelah ia bergerak ke arah objektif pembangunan jangka panjang.

    Sementara itu, mengenai Inventori 2016 Gas Rumah Hijau (GHG) Iskandar Malaysia, ia menunjukkan pengurangan ketara sebanyak 10 peratus dalam pelepasan, walaupun dengan perkembangan pesat di rantau ekonomi tersebut.

    Ini adalah peningkatan berbanding pengurangan tujuh peratus yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, katanya.

    “Sebagai satu-satunya rantau ekonomi yang mengambil bahagian dalam pelaporan karbon, saya sangat gembira untuk berkongsi kemajuan yang baik dalam memantau pelepasan GHG Iskandar Malaysia dengan menjejaki kesan dan prestasi pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia (LCSBPIM),” kata Ismail.

    Selain itu, inisiatif bandar pintar Iskandar Malaysia adalah selaras dengan aspirasi negeri Johor seperti yang digariskan dalam Bajet Negeri Johor 2018 yang diumumkan baru-baru ini.

    “Segala agenda lestari ini adalah menjadikan Iskandar Malaysia sebuah metropolis pintar yang meliputi aspek ekonomi, alam sekitar dan sosial.

    “Adalah menjadi matlamat kami untuk memastikan keterangkuman Iskandar Malaysia memberi manfaat kepada rakyat bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Iskandar Malaysia Raih Pelaburan RM244.46 Bilion "