• ISG Akan Tarik Syarikat Penerbangan Malaysia

    Published: Monday, 4 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokchen Istanbul (ISG), yang dikendalikan dan dimiliki oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), kini berusaha menarik syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines Bhd, dengan harapan syarikat penerbangan dari Malaysia itu terbang ke ISG.

    Pengarah Eksekutif ISG Datuk Azmi Murad berkata lapangan terbang itu telah mengadakan perbincangan berterusan dengan Malaysia Airlines dan AirAsia untuk menimbang menjadikan ISG sebagai laluannya di Istanbul.

    "Mereka sedang menimbangkannya, mereka mungkin mempunyai pertimbangan sendiri (mengenai terbang ke ISG) selain keutamaan," katanya di Istanbul baru-baru ini.

    ISG ialah antara satu daripada dua lapangan terbang antarabangsa di Istanbul. Lapangan terbang lain di ibu negara Turki itu ialah Lapangan Terbang Ataturk Istanbul. Lapangan terbang ketiga, Istanbul Grand Airport, sedang dalam pembinaan.

    ISG kini mengendalikan lebih daripada 50 syarikat penerbangan antarabangsa. Ia mengurus kira-kira 40 rangkaian domestik.

    Syarikat penerbangan utama di ISG kini termasuk Turkish Airlines dan Pegasus Airlines.

    ISG mempunyai kapasiti untuk mengendalikan 33 juta penumpang setahun.

    Azmi yang menaruh keyakinan tinggi bahawa syarikat penerbangan Malaysia akan terbang ke ISG, berkata: "Saya akan terus berunding dengan mereka (syarikat penerbangan Malaysia).”

    Azmi berkata ISG juga sedang berusaha untuk membawa lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa lain ke lapangan terbang berkenaan.

    Ketua Pegawai Eksekutif ISG Ersel Goral melaporkan bahawa Emirates yang berpangkalan di Dubai akan melancarkan penerbangannya ke ISG pada April 2018. Emirates akan mengadakan penerbangan harian dari Dubai, menggunakan Boeing 777.

    Beliau juga berkata rundingan juga sedang dijalankan oleh ISG dengan beberapa syarikat penerbangan dari Eropah dan Timur Tengah.

    Azmi yang kini menetap di Istanbul, berkata usaha juga sedang dijalankan bagi mengetengahkan produk buatan Malaysia di ISG.

    "Agak memalukan jika kita tidak mempromosikan produk buatan Malaysia menggunakan aset ini (ISG) yang merupakan milik Malaysia," katanya.

    Kumpulan francais yang berpangkalan di Malaysia, termasuk Marrybrown rantaian makanan segera, baru-baru ini melawat ISG untuk meneroka peluang perkongsian dengan penggiat Turki.

    Sekumpulan syarikat yang berpangkalan di Malaysia, di bawah naungan Dewan Perniagaan Islam Malaysia, juga melawat ISG untuk mempromosi produk kecantikan dan penjagaan kesihatan di lapangan terbang berkenaan.

    Azmi berkata ISG boleh menyediakan kiosk khas untuk produk Malaysia bagi mempromosikan produk pelancongan dalam kalangan pelancong bagi menarik lebih banyak pelancong berkunjung ke Malaysia.

    “Saya juga sedang menimbang idea untuk membawa roti canai sejuk beku dan karipap buatan Malaysia ke Turki.

    "Orang mungkin mengatakan besar kemungkinan orang Turki tidak menyukai makanan kita, namun menu kita perlu diketengahkan. Apabila sudah biasa dengan rasanya, mereka akan dapat menerima,” kata Azmi.-- BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " ISG Akan Tarik Syarikat Penerbangan Malaysia "