• Iraq berpesta selepas IS ditewaskan

    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+
    BAGHDAD: Perdana Menteri Iraq, Haider al-Abadi mengumumkan penamatan perang ke atas IS pada Sabtu selepas tentera Iraq berjaya mengusir saki baki kumpulan militan itu, 3 tahun selepas ia menawan kira-kira sepertiga wilayah Iraq.

    Pengumuman itu dibuat selepas tentera Rusia mengumumkan kekalahan militan tersebut di negara jiran Syria, di mana Moscow menyokong tentera kerajaan Syria.

    Tentera Iraq menawan semula kawasan terakhir yang masih di bawah kawalan IS di sepanjang sempadan Syria, kata tentera.

    “Rakyat Iraq yang dihormati: tanah kamu dibebaskan sepenuhnya. Impian pembebasan kini menjadi realiti,” kata Abadi dalam satu kenyataan di televisyen berlatar belakangkan 5 bendera Iraq dan berpuluh askar dari pelbagai cawangan.

    “Kita mencapai satu misi yang sangat sukar. Wira kita telah menawan kubu terakhir IS dan membersihkannya. Bendera Iraq berkibar tinggi hari ini di bumi Iraq.”

    Beberapa skuadron helikopter Iraq terbang di atas kota Baghdad dengan membawa bendera Iraq pada tengah hari sebagai latihan untuk perarakan kemenangan yang dirancang dalam beberapa hari lagi.

    Kerajaan berkata pengisytiharan itu bermakna pasukan Iraq berjaya memperoleh semula bahagian gurun barat dan seluruh sempadan Iraq-Syria dan petanda berakhirnya perang terhadap IS.

    Abadi mengisytiharkan 10 Disember sebagai cuti umum yang akan diraikan setiap tahun. Televisyen turut menyiarkan lagu perayaan memuji tentera kerajaan dan menunjukkan suasana perayaan di jalan-jalan di Baghdad dan wilayah lain.

    Pakatan yang diketuai Amerika Syarikat (AS) menyokong tindakan tentera Iraq menentang IS dan menyambut baik berita itu, seperti yang dilakukan Brett McGurk, duta khas presiden AS.

    “Kami mengucapkan tahniah kepada perdana menteri dan semua rakyat Iraq dengan pencapaian besar ini di mana ia banyak dirasakan mustahil,” katanya menerusi Twitter.

    “Kami menghormati pengorbanan rakyat Iraq, pasukan keselamatannya dan Kurdish Peshmerga serta mengagumi perpaduan dalam barisan mereka yang menjadikan hari ini satu kenyataan.”

    Jabatan Negara AS juga mengeluarkan kenyataan ucapan tahniah.- Reuters/FMT

    Subjects:

  • No Comment to " Iraq berpesta selepas IS ditewaskan "