• Individu Tawar RM30,000 Untuk Bunuh Mangsa

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR – Ada pihak yang didakwa menawarkan ganjaran sehingga lebih RM30,000 untuk memburu lelaki yang mati ditikam dan digilis di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Johor Bahru, sebulan sebelum kejadian pada malam Ahad lalu.

    Selain itu, wang ‘ganjaran’ turut dikatakan ditawarkan bagi mana-mana individu yang berjaya menghapuskan mangsa.

    Menurut sebuah laporan, seorang sumber mendedahkan ada pihak menawarkan ganjaran di Facebook sejak sebulan lalu, iaitu RM23,888 untuk sebarang maklumat sehingga menemui mangsa dan RM32,888 jika berjaya menyerahkan lelaki itu. Bagaimanapun, laman itu kini tidak lagi beroperasi.

    Difahamkan, mangsa mempunyai 13 rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

    Sumber itu juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang mahu membalas dendam akibat pertikaian wang dalam urus niaga dadah sehingga sanggup menawarkan ganjaran tinggi untuk membunuhnya.

    Mayat mangsa telah dituntut isterinya dari Bilik Mayat Hospital Sultan Ismail pada pukul 2.10 petang semalam dan ditempatkan di Nirvana Memorial Park, Kulai sebelum disemadikan.

    Sekitar 5 petang semalam, satu upacara keagamaan telah diadakan di tempat kejadian yang turut dihadiri wanita warga Vietnam yang dipercayai isteri mangsa serta keluarga.

    Upacara keagamaan itu berlangsung kira-kira 20 minit sebagai menghormati roh mangsa.

    Isteri mangsa dilihat meninggalkan tempat kejadian dengan tergesa-gesa dipercayai enggan ditemubual wartawan.

    Terdahulu, mangsa dilihat bersama isterinya di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi sebelum ditikam sebelum dilanggar.

    Bagaimanapun, pihak polis sudah menahan dua individu bagi membantu siasatan. – MYNEWSHUB.CC

    Subjects:

  • No Comment to " Individu Tawar RM30,000 Untuk Bunuh Mangsa "