• Imigresen 'Gegar' Rumah Urut

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    Tiga puluh wanita dan seorang lelaki warga asing ditahan Jabatan Imigresen Selangor dalam Op Gegar di lapan premis pusat urut dan sebuah rumah sewa di Setia Alam, Subang Jaya dan Petaling Jaya awal pagi hari ini.

    Pengarah Jabatan Imigresen Selangor Omran Omar berkata, serbuan dilakukan hasil risikan tiga minggu.

    Beliau berkata, operasi yang bermula dari 8 malam dan berakhir 2.30 pagi tadi memeriksa 44 orang namun 31 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.

    "Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Thailand, Vietnam, Indonesia, Kemboja dan China.

    "Mereka berusia antara 18 hingga 46 tahun," katanya.

    Beliau berkata, ketika serbuan, tiga daripada premis didapati kosong dipercayai ditinggalkan sebelum kehadiran pegawai operasi.

    Menurutnya, ketika serbuan di sebuah premis, pihaknya menahan dua pekerja warga asing dan siasatan lanjut membawa kepada serbuan di sebuah rumah sewa berdekatan yang dijadikan asrama untuk premis urut terbabit.

    "Tujuh warga asing ditemui dalam rumah berkenaan.

    "Selain itu, 10 warga tempatan yang juga pelanggan dan penjaga kaunter premis dibawa ke pejabat bahagian penguat kuasa imigresen untuk diambil keterangan," katanya.

    Omran berkata, 21 warga asing itu akan didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) kerana tiada pas sah dan 10 orang lagi mengikut Perkara 39(b) kerana salah guna pas.

    Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat penguat kuasa Jabatan Imigresen Selangor di Shah Alam untuk siasatan lanjut.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Imigresen 'Gegar' Rumah Urut "