• Imigresen antara empat kategori tambahan mengundi pos

    Reporter: Yusz Man
    Published: Thursday, 21 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA - Anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang bertugas ketika pilihan raya umum adalah antara empat kategori tambahan yang dibenarkan mengundi secara pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

    Pengurusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata selain JIM, kemudahan pengudian secara pos kini dibuka kepada anggota Agensi Pertahanan Awam (APM), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) sahaja.

    Beliau berkata perkara itu telah diputuskan SPR dalam mesyuarat pada 28 November lepas.

    “Kemudahan ini diberikan kepada anggota yang bertugas pada Hari Mengundi sahaja atas justifikasi bahawa anggota yang terbabit merupakan pemilih yang tidak dapat meninggalkan tugas mereka pada hari mengundi demi memastikan aspek keselamatan dan perkhidmatan kepada rakyat terjamin.

    “Kemudahan ini akan dilaksanakan pada PRU14. Pewartaannya telah dibuat pada 13 Dis berdasarkan kepada Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2013,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    November lalu, Mohd Hashim mengumumkan bahawa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) petugas kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja), anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, anggota Jabatan Penjara Malaysia dan anggota Sukarelawan Polis yang bertugas ketika pilihan raya umum antara lima kategori yang akan dibenarkan mengundi secara pos pada PRU akan datang.

    Sebelum ini kategori pengundi dalam negara yang boleh memohon untuk menjadi pengundi pos ialah anggota tentera dan pasangan serta anggota polis dan pasangan yang tidak dapat hadir semasa Hari Pengundian Awal, petugas media dan petugas pilihan raya yang terpaksa mengundi di luar pusat mengundi. - Bernama

    Subjects:

  • No Comment to " Imigresen antara empat kategori tambahan mengundi pos "