• Iman Sukar Makan Pepejal, Kencing Berdarah

    Published: Wednesday, 20 December 2017
    A- A+


    KOTA KINABALU - Badak betina Sumatera yang dikenali sebagai Iman enggan menerima sebarang makanan selepas ia dibawa keluar dari kawasan lumpur ke dalam kandang di Rizab Hidupan Liar Tabin sejak Isnin lalu.

    Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya terpaksa menggantikan pelbagai sumber mineral dan vitamin dalam bentuk cecair bagi membantu memulihkan dan meningkatkan tenaga mamalia berkenaan.

    Menurut Augustine, rawatan infusi intravena (IV) yang mengandungi bahan antiradang dan antibiotik turut diberikan untuk mengawal pendarahan daripada terus keluar dari vagina Iman.

    "Iman dikawal selama 24 jam sehari oleh pasukan veterinar di Rizab Hidupan Liar terbabit untuk memantau perkembangan terkini dan memberikan rawatan yang terbaik.

    "Hampir seminggu sejak dibawa keluar dari kawasan lumpur, Iman tidak mengambil sebarang makanan pepejal. Justeru, kami gantikan cecair yang mengandungi pelbagai vitamin untuk membina daya tahan Iman," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Tambah Augustine, pada masa sama penjaga Iman turut menyediakan pelbagai buah-buahan kerana haiwan itu perlu mengambil makanan berbentuk pepejal.

    Dalam pada itu, difahamkan hasil pemantauan mendapati air kencing Iman masih berdarah.

    "Kita akan melakukan proses pengimbas bunyi terhadap Iman untuk mendapatkan data lengkap keadaan abdomen badak ini," katanya.

    Terdahulu, Kosmo! pernah melaporkan Iman yang merupakan badak betina Sumatera terakhir di Malaysia kini mengalami kemorosotan kesihatan akibat pendarahan yang berpunca daripada tumor pada rahim. - Kosmo

    Subjects:

  • No Comment to " Iman Sukar Makan Pepejal, Kencing Berdarah "