• Ibu dera anak sampai mati didakwa

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    SEBERANG PERAI - Seorang wanita warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini tadi atas kesalahan menyebabkan kecederaan anak bongsunya hingga mangsa mati November lalu.

    Tertuduh, Nisa, 26, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

    Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan anak lelakinya berusia setahun tiga bulan dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal di kediaman di Nombor 106, Paya Lahar Kepah, Kepala Batas di sini kira-kira pukul 4.30 petang, 22 November lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit bersalah.

    Noor Aini bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 5 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan laporan bedah siasat.

    Kosmo! sebelum ini melaporkan, kanak-kanak berusia setahun maut pada 26 November lalu selepas dilaporkan koma di Hospital Pulau Pinang dipercayai akibat didera ibu kandungnya. - K! ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Ibu dera anak sampai mati didakwa "