• Hutang Punca Pembunuhan Kejam

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    JOHOR BAHRU: Kejadian pembunuhan kejam di sebuah stesen minyak di Taman Pelangi, Ahad lalu adalah berpunca daripada hutang pengedaran dadah.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd, berkata polis mengenal pasti punca kejadian selepas melakukan soal siasat awal terhadap dua suspek yang ditahan di Pulau Pinang, kelmarin.

    Katanya, polis turut mengesahkan mangsa seorang ahli kumpulan kongsi gelap, bagaimanapun tidak boleh mendedahkan sepenuhnya identiti lelaki berkenaan supaya tidak mengganggu siasatan.

    "Setakat ini, polis menahan 14 suspek, iaitu membabitkan 10 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 16 hingga 26 tahun bagi membantu siasatan.

    "Tujuh ditahan di Singapura membabitkan empat lelaki dan tiga wanita yang sudah dibawa masuk ke Malaysia.

    "Semua suspek direman tujuh hari, bermula semalam hingga 27 Disember ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya, pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini.

    Yang turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd.

    Wan Ahmad Najmuddin, berkata lapan individu sudah dirakam percakapan termasuk saksi iaitu pekerja di stesen minyak di Taman Pelangi, di sini.

    "Isteri mangsa masih lagi menjadi saksi utama dalam siasatan kes pembunuhan dan saya sudah arahkan pegawai penyiasat Pasukan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi tumpuan pada setiap percakapannya

    "Berhubung dakwaan suspek menerima habuan wang atau diupah dengan jumlah wang yang besar, masih dalam siasatan," katanya.

    Kejadian jam 7.30 malam Ahad lalu, mangsa maut selepas disyaki ditikam sebelum dilanggar dan digilis ketika mengisi angin tayar di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini.

    Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada bahagian dada kiri.

    Difahamkan, mangsa bersama isterinya menaiki kereta jenis Volkswagen Polo berhenti di stesen minyak terbabit untuk mengisi angin tayar keretanya. - BH

    Subjects:

  • No Comment to " Hutang Punca Pembunuhan Kejam "