• Honda Buka Pusat 3S Terbesar Di Miri

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+


    KUALA LUMPUR: Honda Malaysia menerusi SYK RW Motor membuka Pusat 3S bernilai RM7 juta di Miri, yang merupakan ketujuh di Sarawak dan juga terbesar di Timur Malaysia iaitu seluas 48,000 kaki persegi.

    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Toichi Ishiyama berkata, pembukaan itu adalah tepat pada masanya mengambil kira perkembangan dan penerimaan pasaran terhadap kenderaan Honda yang semakin meningkat di kawasan berkenaan.

    “Dengan asas pelanggan yang semakin meningkat, terdapat keperluan mendesak untuk Honda Malaysia memperluaskan rangkaian pengedarannya bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada para pelanggan termasuk akses mudah ke Pusat 3S.

    “Kami juga ingin menjangkau lebih ramai pelanggan dari kawasan yang berbeza terutama mereka yang tinggal di daerah dan bandar satelit untuk memberikan pengalaman ‘keseronokan pembelian’,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

    Pembukaan tersebut dijangka dapat menampung lebih ramai pelanggan dengan pelbagai tawaran sebagai tambahan kepada enam pengedar sedia ada di negeri itu iaitu tiga di Kuching dan masing-masing sebuah di Miri, Bintulu dan Sibu.

    Dibina dengan 12 ruang perkhidmatan iaitu tujuh perkhidmatan pantas, dua tempat membaiki am, dua perkhidmatan tayar dan satu perkhidmatan pendingin hawa, Pusat 3S baharu tersebut mampu menampung sehingga 40 buah kenderaan setiap hari.

    Ia juga lengkap dengan pelbagai kemudahan, peralatan dan juruteknik profesional, selain ruang pelanggan, ruang eksekutif, perkhidmatan jalur lebar mudah alih (WiFi), sudut kanak-kanak, surau serta pelbagai makanan dan minuman.

    Ishiyama berkata, antara Januari hingga November 2017, jualan kenderaan di Timur Malaysia berjumlah 6,600 buah atau kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan jualan Honda Malaysia dalam tempoh berkenaan melebihi 98,200 buah.

    “Dalam tempoh tersebut juga, Sarawak menyumbang jualan lebih daripada 4,000 buah kenderaan atau 60 peratus daripada jualan di Timur Malaysia dengan BR-V sebagai model paling popular dalam kalangan penduduk negeri tersebut,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Honda Buka Pusat 3S Terbesar Di Miri "