• Himpunan Selamatkan Baitulmaqdis Catat Sejarah

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    PUTRAJAYA – Himpunan Putih Solidariti Selamatkan Baitulmaqis yang diadakan di Masjid Putra di sini, hari ini merupakan himpunan bersejarah buat umat Islam Malaysia untuk bersama-sama rakyat Palestin dalam mempertahankan kota suci umat Islam itu, kata Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

    Berucap mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada himpunan itu, beliau berkata umat Islam berkumpul tanpa mengira perbezaan politik mahupun pandangan bagi menolak resolusi Amerika Syarikat (AS) memindahkan ibu negara Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

    “Hari ini kita berkumpul tanpa mengira siapa kita, kita berkumpul di atas asas rakyat Malaysia dan umat Islam untuk menyatakan kepada AS dan Israel bahawa Malaysia bersama-sama dengan saudara kita di Palestin untuk membebaskan Baitulmaqdis suatu hari nanti.

    “Hari ini kita berkumpul di masjid ini, satu hari nanti, Insya-Allah, kita semua akan berkumpul di Masjid Al-Aqsa untuk menunaikan solat,” kata Muhammad Khalil.

    Himpunan itu yang disertai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut dihadiri oleh kira-kira 10,000 umat Islam dan rakyat Malaysia bukan Islam.

    Pada 6 Disember lepas, Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa ASt mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hingga membangkitkan kemarahan dan bantahan negara-negara Islam.

    Semalam, perhimpunan agung Pertubuhan Bangsa Bersatu menerima 128 undi yang menyokong usul untuk menolak keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Himpunan Selamatkan Baitulmaqdis Catat Sejarah "