• Hilmy Bangga Dapat Berlawak Di Jakarta

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Wednesday, 13 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Personaliti televisyen dan pelawak, Hilmy Ashley, berbangga apabila dapat berkongsi pentas dengan artis komedi terkemuka Indonesia, Mo Sidik, di Jakarta, awal Disember lalu.

    Beliau bersama tiga lagi pelawak negara ini, JD Raja Lawak, Brian Tan dan Karen Bala Devan, dipilih menjayakan acara penutup siri World Tour Standup Comedy di Gedung Pusat Perfileman Haji Usmar Ismail, di ibu kota Indonesia.

    Sebelum mengakhiri siri jelajah berkenaan di negaranya sendiri, Mo Sidik sebelum itu turut mengadakan persembahan di beberapa kota di China dan Macau.

    "Seperti kita ketahui, ada beberapa penyanyi dan pelakon Malaysia yang berjaya mencipta nama di Indonesia. Namun, belum ada artis komedi yang mampu berbuat begitu. Maklum saja, pelawak mereka sangat konsisten dalam dunia komedi di negara itu.

    "Justeru, saya amat menghargai kesempatan yang diberikan ini, apabila berpeluang berkongsi pentas dengan pelawak terkenal Indonesia. Saya dan JD diundang menjayakan lawak dalam bahasa Melayu-Indonesia, manakala Brian dan Karen Bala pula bagi segmen bahasa Inggeris.

    "Saya difahamkan, Mo Sidik mengundang kami ke pentas lawaknya selepas berkunjung ke Malaysia dan beberapa negara lain bagi mencari bakat bersesuaian," katanya kepada BH Online.

    Menurut Hilmy, pada kesempatan itu, beliau memilih untuk mengetengahkan lawak yang menyentuh soal budaya dan perpaduan antara masyarakat dua negara serumpun.

    Februari lalu, bakat dari Pasir Mas, Kelantan, ini pernah mencuba nasib dalam pertandingan Stand Up Comedy Indonesia yang disiarkan menerusi Kompas TV.

    Menerusi pertandingan terbabit, beliau muncul satu-satunya peserta dari Malaysia yang mara hingga ke kelompok 30 terbaik, daripada hampir 1,000 peserta yang mencuba nasib.

    Hilmy, yang memasang impian mencipta nama seperti Harith Iskander, kini bekerja sebagai pengacara sambilan di Bernama TV, termasuk untuk program Nine11. - BHonline

    Subjects:

  • No Comment to " Hilmy Bangga Dapat Berlawak Di Jakarta "