• Henti Campur Tangan Politik Lubnan

    Published: Friday, 8 December 2017
    A- A+


    PARIS : Beberapa kuasa besar dijangka cuba mengembalikan kestabilan Lubnan dengan mendesak Arab Saudi dan Iran menghentikan campur tangan dalam sebaran isu berkaitan politik negara berkenaan.

    Krisis Lubnan semakin meruncing 4 November lalu apabila Perdana Menteri Saad al-Hariri meletak jawatan ketika berada di Arab Saudi dan menjadikan kebimbangan cubaan bunuh terhadapnya sebagai faktor tindakan itu.

    Ia susulan kritikan dibuatnya sebelum ini ke atas Iran bersama rakan sekutu Hizbullah.

    Beliau bagaimanapun, menarik balik tindakan itu selepas berdepan tekanan antarabangsa dan berunding bersama parti politik di Lubnan serta kerajaan gabungannya yang turut disertai Hizbullah, sebelum mengulangi pendirian untuk tidak terbabit dalam konflik Liga Arab.

    Susulan pembatalan tindakan Hariri, Kumpulan Sokongan Antarabangsa Lubnan (GIS) membabitkan lima negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNSC) iaitu Britain, China, Perancis, Russia dan Amerika Syarikat (AS) dijangka bertemu hari ini untuk memulihkan semula keadaan.

    Seorang diplomat kanan berkata, mesej jelas mengenai kedaulatan, kestabilan dan keselamatan perlu dihantar kepada semua pihak yang menyokong Lubnan termasuk rakan sekutu dan pihak berpengaruh lain.

    "Kita perlu meredakan ketegangan yang berlaku di rantau itu dan percaya bahawa usaha ini perlu dimulakan dengan Lubnan sendiri," katanya. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Henti Campur Tangan Politik Lubnan "