• Hayati perjuangan Rasulullah SAW

    Published: Friday, 1 December 2017
    A- A+
    Meraikan 12 Rabiulawal, tarikh bersejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW. Keimanan kepada para nabi dan rasul adalah satu daripada Rukun Iman yang perlu diyakini. Dalam konteks ini, umat Islam berada di pertengahan antara dua golongan:

    1 Mendewakan para nabi dan rasul sehingga meletakkan mereka sebagai tuhan yang disembah atau sebagai anak tuhan.

    2 Mendustakan ajaran para nabi dan rasul sehingga membawa penyelewengan akidah serta ajaran sesat.

    Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah berlebihan memujiku seperti kaum Nasrani memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, katakanlah (mengenaiku) Hamba Allah dan Rasul-Nya,” - Riwayat Bukhari, Tirmizi, Ahmad dan Abu Daud.

    Penyempurnaan akhlak mulia merupakan antara tujuan diutuskan Rasulullah SAW. Sunah memaparkan Baginda dengan kualiti akhlak mahmudah sebagai model terbaik dalam kehidupan.

    Sejarah merakamkan kehadiran sekumpulan manusia yang mampu untuk maju sekalipun pada awalnya terkebelakang, tidak dikenali, mundur, berpecah dan tidak mempunyai hala tuju kehidupan. Kumpulan ini kemudiannya berubah sikap dan pendirian apabila menerima kerasulan seorang pemuda yang ummi sebagai pembawa risalah kenabian dan teladan dalam setiap aspek kehidupan. Setelah beriman dan menjadikan Baginda SAW sebagai pemimpin, mereka muncul sebagai bangsa yang disegani dan dihormati kawan serta lawan, berbeza berbanding sebelumnya. Mereka ialah masyarakat Arab Jahiliah.

    Allah SWT berfirman bermaksud: “Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf (al-ummiyyin) seorang Rasul (Muhammad) antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah. Sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata,” (Surah al- Araf : 157).

    FAHAMI, HAYATI, AMALKAN

    Oleh itu, sunah yang ditunjukkan oleh Baginda mestilah difahami, dihayati dan diaplikasikan sebagai nilai kehidupan. Sunah merakamkan antaranya:

    Nilai yang baik dalam kehidupan.

    * Dalam Sahih Bukhari, meriwayatkan Abu Sufian dipanggil menghadap Raja Heraklius yang bertanya apakah ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW. Walaupun ketika itu Abu Sufian masih belum memeluk Islam, beliau menjelaskan ajaran Baginda adalah perintah mengerjakan solat, jujur, menjaga kehormatan diri, menepati janji dan menunaikan amanah. Pada akhir hadis, Raja Heraklius memperakui nilai yang disebut oleh Abu Sufian merupakan sifat seorang nabi yang hakiki.

    Revolusi pembudayaan ilmu pengetahuan.

    * Bermula turunnya wahyu pertama, Surah al-A’laq ayat 1-5. Rasulullah SAW membina sebuah masyarakat berilmu. Tradisi keilmuan pascanubuwwah diwarisi para Khulafa al-Rasyidin sehingga pemerintahan Bani Umayyah dan Abasiyyah.

    * Umat Islam berada di kemuncak ilmu pengetahuan, seterusnya mencipta sejarah ketamadunan yang tinggi melalui penguasaan ke atas Andalusia dan kecemerlangan saintis Islam di timur berpusat di Baghdad.

    * Ia berterusan sehingga zaman pemerintahan Islam berakhir dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada 1924.

    * Kegemilangan tamadun Islam membantu mewujudkan tamadun Barat yang dianggap sebagai tamadun paling maju hari ini. Hakikatnya, berlaku proses pemindahan ilmu dan teknologi dari tamadun Islam ke tamadun Barat.

    l Pada waktu itu masyarakat Eropah masih dalam era kegelapan, mundur dan berada pada tahap paling rendah dari sudut ilmu dan pengetahuan. Pemerintahan Barat dikuasai golongan gasar (barbarian) yang biadab dan tidak bertamadun, malahan dalam keadaan jahiliah.

    Perpaduan sebagai dasar negara.

    * Negara Madinah memberi perlindungan kepada semua rakyat tanpa mengira agama, bangsa mahupun warna kulit. Keharmonian kaum dan toleransi dipraktikkan dengan sempurna, diteruskan pada zaman Khulafa al-Rasyidin.

    * Dasar ini diteruskan pada zaman penguasaan Islam dalam wilayah-wilayah Sham seperti Baitulmaqdis berdasarkan jaminan Sayidina Umar al-Khattab r.a. kepada penduduk Islam dan bukan Islam ketika itu, begitu juga ketika menguasai wilayah di Barat seperti Andalusia, di mana kebebasan diberikan kepada semua kaum mahupun Yahudi oleh pemerintah Islam ketika itu.

    Nilai kerohanian Islam membentuk kekuatan peribadi.

    * Rasulullah SAW menjalani manhaj tarbiah rohani yang membentuk kekuatan peribadi seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Muzzammil ayat 1 hingga 8 iaitu solat malam (qiyamullail) walaupun hanya sedikit, di samping membaca al-Quran dengan tertib dan berzikir.

    * Hari ini, dunia Barat turut menamakan Rasulullah SAW sebagai tokoh ulung di muka bumi ini, antaranya :

    Micheal H. Hart dalam The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History menamakan Baginda sebagai tokoh yang menduduki tempat pertama dalam senarai manusia paling berpengaruh di dunia.

    G.W. Choudhury dalam The Prophet Muhammad: His Life and Eternal Message menyatakan Nabi Muhammad SAW bukan hanya seorang pemimpin spiritual yang berjaya, bahkan negarawan dan pentadbir cemerlang.

    W.M. Watt dalam Muhammad: Prophet and Stateman menyatakan Baginda SAW dalam konteks pembawa perubahan (reformer) yang menghasilkan revolusi signifikan dalam cara hidup dan pemikiran masyarakat Arab. Beliau turut menyenaraikan tiga kualiti kehebatan Baginda SAW yang menyebabkan Islam tersebar ke seluruh dunia iaitu mampu melihat jauh ke masa hadapan, kebijaksanaan sebagai negarawan dan kemahiran sebagai pentadbir serta kebijaksanaan dalam memilih pemimpin pelapis.

    Rasulullah SAW karakter unggul seorang rasul. Pemimpin keluarga, masyarakat dan negarawan. Baginda memaparkan agama Islam yang tidak rigid, ekstrem, ketat, militan, keterlaluan dan ekstrem liberal. Agama memainkan peranan membentuk tamadun dari sudut dalaman mahupun luaran berbanding tamadun berbentuk material tanpa campur tangan agama.

    Inilah nilai ummatan wasata. Salam Maulidur Rasul 1438 Hijrah. - UTUSAN ONLINE

    Subjects:

  • No Comment to " Hayati perjuangan Rasulullah SAW "