• Harga Minyak Dunia Cecah AS$66.74 Setong, Paras Tertinggi Sejak Mei 2015

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+


    NEW YORK – Harga minyak dunia melonjak ke paras tertingginya dalam hampir dua tahun selepas saluran paip yang membawa bekalan minyak mentah di Libya meletup pada Selasa.

    Setakat jam 1.11 petang Rabu, harga minyak Brent dicatat pada AS$66.74 setong, paras tertinggi sejak 15 Mei 2015.

    Manakala harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) dicatat pada AS$59.75, paras tertinggi sejak 12 Jun 2015.

    Letupan saluran paip tersebut, yang membawa minyak mentah ke terminal Es Sider di Libya, dijangka mengurangkan bekalan minyak dunia sebanyak 70,000 ke 100,000 tong sehari.

    Ia juga dijangka mengambil masa untuk dibaiki dan beroperasi semula, sekaligus membawa kesan jangka sederhana kepada bekalan dan harga minyak dunia.

    Insiden tersebut memberi tekanan lebihan kepada bekalan minyak dunia, selepas saluran paip minyak mentah di United Kingdom turut ditutup dua minggu lalu akibat retak.

    Bagaimanapun, sebarang tekanan yang mengurangkan bekalan minyak mungkin dialu-alukan oleh Organisasi Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), yang berdepan tekanan untuk mengurangkan bekalan komoditi itu untuk menolak naik harganya.

    Pada November 2016, ahli OPEC mencapai persetujuan untuk mengurangkan pengeluaran minyak mereka buat pertama kali sejak 2008, setelah berdepan kelemahan harga minyak selama dua tahun.

    Manakala pada Disember 2016, OPEC beserta negara bukan ahli OPEC seperti Rusia, turut bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak masing-masing untuk tujuan yang sama.

    Pada Mei 2017, kedua-dua pihak sepakat melanjutkan persetujuan tersebut sehingga hujung 2018. – Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Harga Minyak Dunia Cecah AS$66.74 Setong, Paras Tertinggi Sejak Mei 2015 "