• Hanya 2 Orang Muflis Kerana PTPTN

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Hanya dua orang saja diisytiharkan muflis oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) daripada 2.8 juta peminjam sejak 1997.

    Pengerusi PTPTN, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata tindakan ke atas dua individu itu dibuat pada 2016, sekali gus menolak dakwaan banyak pihak, ramai yang disenaraikan muflis oleh PTPTN.

    "Langkah ini kita ambil selepas peminjam tidak mematuhi perintah penghakiman yang dikeluarkan pada 2010.

    "Kalau bandingkan dengan institusi kewangan lain, pasti ramai yang akan disenarai muflis dan terbabit dengan tindakan undang-undang.

    "Bagaimanapun, kita di PTPTN sangat fleksibel dan langkah terakhir ke atas peminjam yang gagal membuat bayaran balik adalah mengenakan sekatan imigresen kerana kita sudah tidak ada pilihan lain," katanya ketika ditemui di Pejabat Biro Kebajikan UMNO, hari ini,

    Shamsul Anuar berkata, bagi memudahkan peminjam untuk keluar negara, PTPTN membuka kaunter 24 jam dan sentiasa memaklumkan kepada peminjam supaya membuat semakan sebelum ke luar negara.

    "Peminjam yang datang berunding dengan kita pada saat akhir, kita tetap beri pelepasan kepada mereka ke luar negara dengan syarat mereka perlu membayar sedikit jumlah yang munasabah sebagai komitmen.

    "Kita terbuka dan kita tidak menyekat peluang mereka ke luar negara. Sekatan imigresen bukan perkara luar biasa kerana ia turut dilakukan oleh agensi lain," katanya.

    Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan pembangkang yang menyifatkan PTPTN zalim dan menganiayai peminjam.

    Katanya, isu itu dibangkitkan kerana ia membabitkan generasi muda dan dimainkan atas sentimen politik.

    Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat bersikap adil dengan situasi itu kerana daripada jumlah besar yang dikenakan sekatan imigresen itu, PTPTN berjaya mendapat kutipan balik RM1.54 bilion, sekali gus dapat memberikan pinjaman kepada 64,000 pelajar baharu.

    Sekatan imigresen bukan perkara baharu, malah ia selaras dengan Seksyen 22A, Akta PTPTN 1997 (Akta 566) yang membenarkan PTPTN menyenarai hitam peminjam.

    Bagaimanapun, katanya, hanya 17 peratus atau 479,067 peminjam disenarai hitam daripada membuat perjalanan ke luar negara sehingga kini.

    Mengenai peminjam PTPTN yang disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS), beliau berkata, ia adalah dasar biasa yang diamalkan mana-mana institusi kewangan di negara ini.

    "Cara dan aliran pembangkang melihat PTPTN ketika ini sedikit berubah.

    "Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, menggunakan PTPTN untuk menyerang kerajaan, kononnya kalau mereka menang maka PTPTN akan dimansuhkan.

    "Sekarang, dia pula mahu PTPTN kekal namun perlu ubah beberapa dasar," katanya. - BHOnline

    Foto Zulfadhli Zulkifli

    Subjects:

  • No Comment to " Hanya 2 Orang Muflis Kerana PTPTN "