• Hakim 'Sekolahkan' Perompak

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Sunday, 10 December 2017
    A- A+

    Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang wanita, Mac lalu.

    Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Azman Abu Hassan selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Mohamad Fuad Apandi, 27, dan mensabitkan dia dengan pertuduhan.

    Beliau juga mengambil kira fakta kes dikemukakan secara lisan oleh Timbalan Pendakwa Raya Eliana Ismail serta rayuan tertuduh.

    "Jangan buat jahat lagi selepas ini, kesalahan ini boleh kenakan sebatan. Mujur kamu mengaku salah, jika didapati bersalah selepas perbicaraan, hukuman lebih berat.

    "Banyak benda boleh buat, kamu masih muda, lepas keluar penjara balik tanam labu atau tembikai boleh dapat duit. Hidup kita tak lama, ingat apa yang saya kata ini," katanya.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mohamad Fuad bersama-sama dengan seorang yang masih bebas, dengan niat bersama merompak Teh Lee Lee, 44, dengan bersenjatakan pisau dan melarikan wang tunai RM550 pada 3 Mac lalu, kira-kira 5.30 petang.

    Dia dituduh melakukan kesalahan itu di tepi jalan Taman Kota Jaya, Kota Sarang Semut, Alor Setar dan didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 397 dan Seksyen 34 akta sama.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan disebat.

    Mengikut fakta kes, pada tarikh dan masa kejadian, mangsa (pengadu) bersama rakannya, Kam Kooi Wei, menaiki motosikal di jalan berkenaan sebelum ditahan oleh dua lelaki tidak dikenali menunggang motosikal Yamaha Ego, nombor pendaftaran KEA 1706.

    Seorang daripada lelaki itu turun dari motosikal dan mengacukan pisau kepada pengadu dan rakan sebelum menarik beg sandang mangsa berisi kad pengenalan, kad bank, wang tunai RM550 dan lesen memandu.

    Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri dan susulan laporan kes dibuat mangsa di Balai Polis Kota Sarang Semut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar berjaya menahan tertuduh menerusi Ops Cantas di belakang bangunan pusat hiburan keluarga di Alor Setar pada 4 Mac lalu, jam 10 malam.

    Sesi kawad cam diadakan pada 8 Mac lalu dan pengadu berjaya mengecam tertuduh terbabit kes rompakan itu dengan menunggu di atas motosikal, manakala rakannya mengacukan pisau.

    Terdahulu, Mohamad Fuad merayu hukuman ringan kerana itu kesalahan pertamanya dan sudah insaf serta berjanji tidak mengulanginya.

    Dia yang tidak diwakili peguam berkata, dia sudah bercerai dan menanggung seorang anak perempuan berusia tiga tahun yang kini dijaga sementara oleh bapanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Hakim 'Sekolahkan' Perompak "