• Haji: Pengeluaran KWSP Tak Meliputi Keseluruhan Kos

    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Inisiatif pengeluaran wang simpanan untuk menunaikan fardu haji yang diperkenal Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada ahlinya bertujuan menampung perbelanjaan asas haji sahaja dan bukan keseluruhan kos perbelanjaan haji, Dewan Negara diberitahu hari ini.

    Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata pengeluaran boleh dibuat melalui simpanan daripada Akaun 2 dan langkah kawalan diambil untuk memastikan ia tidak menjejaskan simpanan persaraan ahli KWSP.

    “Ahli KWSP yang layak hendaklah berumur kurang 55 tahun dan telah menerima surat jawapan berstatus ‘terpilih’ untuk mengerjakan haji daripada Lembaga Tabung Haji dan tertakluk kepada perbezaan jumlah kos haji dengan baki simpanan akaun Lembaga Tabung Haji ahli pada jumlah maksimum RM3,000 atau baki Akaun 2 (mengikut mana-mana yang terendah),” katanya.

    Beliau menjawab soalan tambahan Senator Muhamad Mustafa yang ingin tahu sama ada wang simpanan ahli KWSP boleh digunakan untuk menunaikan haji.

    Terdahulu, Othman menjelaskan bahawa KWSP tidak menyediakan kemudahan pinjaman kepada ahlinya namun membenarkan ahli membuat pengeluaran bagi tujuan khusus berkaitan keperluan persaraan seperti pengeluaran perumahan.

    “KWSP menyediakan beberapa jenis pengeluaran perumahan kepada ahlinya seperti pengeluaran membeli atau membina rumah. Pengeluaran ini membolehkan ahli mengeluarkan simpanan Akaun 2 untuk membiayai pembelian atau pembinaan sebuah rumah secara individu, atau pembinaan secara bersama dengan suami dan isteri,” katanya. – BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Haji: Pengeluaran KWSP Tak Meliputi Keseluruhan Kos "