• Gigitan Maut Ragut 170 Nyawa

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    Seramai 170 mangsa maut berpunca akibat demam denggi di seluruh negara antara Januari hingga 16 Disember 2017 lalu.

    Jumlah ini bagaimanapun menurun sebanyak 60 kes kematian atau 26.1 peratus berbanding 230 kematian pada tahun 2016

    Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu ke-50 tahun 2017, iaitu dari 10 Disember hingga 16 Disember 2017, sebanyak 985 kes demam denggi dilaporkan berbanding 950 kes pada minggu sebelumnya iaitu berlaku peningkatan sebanyak 35 kes (3.7%).

    Menurutnya, terdapat sembilan negeri yang menunjukkan peningkatan kes berbanding minggu sebelumnya iaitu Pulau Pinang, Johor, Perak, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang, Sarawak, Melaka dan Perlis.

    “Hasil pemantauan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Januari hingga 16 Disember 2017, jumlah kumulatif kes Demam Denggi adalah sebanyak 81,790 kes iaitu penurunan sebanyak 16.9% (16,648 kes) berbanding tempoh yang sama tahun 2016 yang dilaporkan sebanyak 98,438 kes,” katanya.

    Selain itu, untuk tempoh masa yang sama, tiada kes Chikungunya dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes Chikungunya bermula dari 1 Januari hingga 16 Disember 2017 kekal sebanyak 269 kes.

    “Manakala bagi pemantauan virus Zika sehingga minggu ke-50 ke atas 2,199 sampel darah dan 33 sampel air kencing di kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika dijalankan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati keputusan adalah semuanya negatif.

    “Tindakan pencegahan dengan pembersihan tempat pembiakan Aedes oleh masyarakat di semua peringkat perlu dilaksanakan tambahan lagi faktor perubahan cuaca semasa musim monsun dan pergerakan manusia besar-besaran semasa cuti perayaan akan menyumbangkan lagi kepada transmisi penyakit Demam Denggi,” katanya.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Gigitan Maut Ragut 170 Nyawa "