• Gempa Gegarkan Tasikmalaya, Penduduk Panik Tinggalkan Kediaman

    Published: Saturday, 16 December 2017
    A- A+

    JAKARTA – Gempa bumi berukuran 6.9 pada skala Richter menggegarkan Tasikmalaya, kira-kira 260 kilometer dari Jakarta, lewat malam tadi menyebabkan penduduk yang tinggal di kawasan pantai panik dan meninggalkan kediaman mereka selepas ancaman tsunami dikeluarkan.

    Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia menerusi laman webnya, gempa bumi yang berlaku pada 11.47 malam waktu tempatan itu berpusat di 11 km barat daya Tasikmalaya, diikuti beberapa gempa susulan pada 12.05 pagi (3.3 skala Richter di 48 km barat daya Tasikmalaya), 12.08 pagi (3.7 skala Richter di 50 km barat daya Tasikmalaya) dan 12.37 pagi (3.1 skala Richter di 48 km barat daya Tasikmalaya).

    Amaran tsunami itu menyebabkan ramai penduduk bergegas ke kawasan tinggi, bagaimanapun amaran berkenaan ditarik balik pada 2.26 pagi tadi.

    Gegaran dilaporkan turut dirasai hingga ke Depok di Jakarta selatan, Bandung dan Yogyakarta.

    Sementara itu, agensi berita Antara melaporkan seorang lelaki berusia 62 tahun maut di Ciamis di daerah Tasikmalaya selepas rumahnya dilaporkan roboh akibat kejadian gempa berkenaan.

    Media tempatan dalam talian juga melaporkan sekurang-kurangnya tujuh buah rumah rosak teruk di kawasan Tasikmalaya.

    Sebuah hospital di Banyumas turut dilaporkan terjejas akibat kejadian gempa itu. — BERNAMA

    Subjects:

  • No Comment to " Gempa Gegarkan Tasikmalaya, Penduduk Panik Tinggalkan Kediaman "