• Gambar Bogel 'Suit'

    Reporter: Dayyan Mikhail
    Published: Monday, 11 December 2017
    A- A+

    Seorang wanita menyerahkan 30 keping gambar bogelnya kepada seorang individu dikenali melalui aplikasi WeChat pada 1 Disember lalu, selepas tertarik dengan tawaran RM15,000 jika berbuat demikian.

    Wanita hanya mahu dikenali sebagai Suit, 21, berkata, dia mengenali individu itu yang menggunakan nama ‘lovebebe2520’ di akaun WeChat pada 13 November lalu.

    Katanya, individu berkenaan pada mulanya memperkenalkan diri sebagai pelanggan produk makanan yang dijual syarikat tempatnya bekerja.

    “Pada 1 Disember lalu, ketika saya berada di tempat kerja di Jalan Dato’ Onn, individu itu menghubungi saya lagi dan kami berbual menerusi aplikasi itu seperti biasa.

    “Dia menawarkan RM15,000 sekiranya saya menyerahkan gambar bogel saya untuk diberikan kepada majikannya,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan MCA Perak di Ipoh, hari ini.

    Suit berkata, individu itu berjanji akan memadam gambar terbabit dalam masa tiga hari selain menghantar wang yang dijanjikan pada sebelah petang di tempat kerjanya.

    “Pada jam 3 petang, selepas saya menyerahkan gambar bogel kepadanya, saya menghubunginya melalui WeChat namun dia memberitahu dia hanya main-main saja.

    “Malah, dia meminta saya memasukkan RM5,000 ke akaun bank diberikan dan sekiranya gagal berbuat demikian, dia mengugut mahu menyebar gambar bogel saya,” katanya.

    Menurut Suit, dia kemudiannya memaklumkan perkara terbabit kepada keluarga serta majikannya sebelum membuat laporan di Balai Polis Pekan Bharu, Rabu lalu.

    “Pemeriksaan pada nombor akaun bank yang diberikan individu itu mendapati pemiliknya adalah lelaki dikenali sebagai Samy Muthu,” katanya.

    Ketua Biro Aduan MCA Perak Jimmy Loh berkata, ia kes pertama diterima pihaknya membabitkan ugutan penyebaran gambar bogel.

    “Orang ramai terutamanya wanita diminta tidak terpedaya dengan tipu helah individu yang mahu menawarkan wang semudah itu,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes terbabit dan menyerahkannya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.-myMetro

    Subjects:

  • No Comment to " Gambar Bogel 'Suit' "