• Gaji Rendah Punca Import Amerika Selatan Jadi Pilihan

    Published: Monday, 18 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Pemain import dari Amerika Selatan dijangka terus menjadi pilihan pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) untuk memperkuatkan pasukan masing-masing bagi mengharungi kempen 2018.

    Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah, berkata ia berikutan permintaan gaji yang rendah selain pemain yang ditandatangani khususnya dari Brazil, Argentina dan Chile berstatus ejen bebas sekali gus tidak terikat dengan mana mana pasukan.

    Situasi itu, katanya, menjadikan harga mereka berpatutan dan mampu dibayar oleh pasukan yang mahukan khidmat mereka.

    "Saya anggarkan gaji mereka sekitar AS$10,000 (RM40,000) ke AS$15,000 (RM61,000), jadi saya tidak terkejut dengan kecenderungan pasukan Liga M mengambil pemain dari Amerika Selatan memandangkan ia menepati kemampuan pasukan terbabit," katanya.

    Menurutnya, pemain benua itu juga tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan iklim di negara ini yang turut menjadi pertimbangan pasukan yang mahu mendapatkan pemain import.

    "Selain itu, berdasarkan kepada posisi yang hendak diisi oleh pasukan di mana kebanyakannya adalah penyerang, jadi pemain Amerika Selatan menjadi pilihan memandangkan mereka memiliki kemahiran teknikal berbanding pemain Eropah dan Afrika yang memiliki kelebihan fizikal dan kekuatan," katanya.

    Dalam masa sama, Effendi menjelaskan pasukan juga boleh mendapatkan pemain import dari Eropah pada harga yang sama dengan pemain Amerika Selatan khususnya negara Balkan.

    "Pemain dari Croatia, Montenegro dan Serbia bukanlah berada dalam liga ternama di Eropah sekali gus harga mereka tidaklah terlalu tinggi dan bersesuaian dengan bajet pasukan," katanya.

    Semalam, Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mendedahkan pemain dari Amerika Selatan menjadi pilihan popular pasukan Liga M untuk mendapatkan pemain import dalam usaha memperkuat pasukan masing-masing bagi saingan musim 2017.

    Brazil menjadi destinasi popular yang menyaksikan 10 pemain (14.92 peratus) dari negara 'Samba' itu menjadi pilihan antaranya seperti Marcos Antonio (Johor Darul Ta'zim), Matheus Alves (Pahang), Thiago Junio (Perak) dan Thiago Augusto Fernandes (FELDA United).

    Negara kedua yang menjadi pilihan adalah Argentina dengan tujuh pemain (10.44 peratus) yang membabitkan perpindahan pemain seperti Gabriel Guerra (JDT), Yamil Romero (Pahang), Sergio Aguero (Melaka United) dan juga Lucas Espindola (PKNS FC). - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Gaji Rendah Punca Import Amerika Selatan Jadi Pilihan "