• Froome 'Bergelut' Bersih Nama

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Friday, 15 December 2017
    A- A+

    LONDON: Chris Froome mengakui keputusan ujian doping di Vuelta a Espana 'menjejaskan kariernya' ketika juara Tour de France empat kali itu bergelut untuk cuba membersihkan namanya.

    Pelumba basikal Britain itu dikesan mengambil ubat lelah salbutamol dua kali ganda berbanding dos dibenarkan dalam sampel air kencingnya selepas memenangi peringkat ke-18 jelajah utama itu buat kali pertama.

    Badan induk berbasikal dunia UCI meminta pelumba Team Sky itu memberi maklumat tambahan tetapi tidak digantung mengikut garis panduan ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia.

    Tindakan itu mencetus dakwaan berlaku 'pilih kasih' daripada juara empat kali acara ujian masa, Tony Martin yang menyifatkan keputusan itu sebagai satu skandal.

    Jika Froome gagal memberi jawapan memuaskan UCI boleh meneruskan dengan dakwaan kes melanggar peraturan antidoping dan mungkin bakal kehilangan gelaran di Vuelta serta tidak dapat beraksi hampir sepanjang musim depan.

    "Perkara ini menjejaskan karier saya, ia juga mengejutkan saya," kata Froome, 32.

    "Pada masa sama, saya sedar saya mengikut protokol dan tidak melanggar peraturan malah berharap pada akhir proses ini saya akan bebas daripada sebarang salah laku.

    "Saya tidak boleh fikir apa orang lain katakan selepas ini. Jelas sekali saya boleh mengawal maklumat yang diberikan berhubung situasi ini."

    Pelumba Jerman, Martin bagaimanapun tidak berpuas hati.

    "Saya benar-benar marah. Jelas sekali berlaku pilih kasih dalam kes Christopher Froome. Atlet lain digantung serta-merta selepas keputusan ujian mereka positif sebaliknya dia dan pasukannya diberi masa oleh UCI untuk menjelaskan semuanya," jelas Martin dalam akaun Facebooknya. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Froome 'Bergelut' Bersih Nama "