• Flynn mengaku bersalah menipu hubungan Russia

    Published: Saturday, 2 December 2017
    A- A+
    WASHINGTON: Bekas penasihat kanan Donald Trump, Michael Flynn semalam mengaku bersalah menipu Biro Penyiasatan Pusat (FBI) mengenai hubungan dengan Russia dalam siasatan mengenai kemungkinan pasukan kempen Trump bersekongkol dengan Moscow.

    Flynn, 58, yang juga seorang jeneral bersara adalah tokoh paling kanan didakwa dalam siasatan kendalian pendakwa raya khas, Robert Mueller berhubung campur tangan Russia dalam pilihan raya tahun lalu.

    Pengakuan Flynn bahawa beliau mengadakan perbincangan sulit dengan duta Russia, Sergey Kislyak pada Disember 2016 atas arahan pegawai lebih tinggi dalam pasukan peralihan kuasa Trump mencetuskan spekulasi di Washington.

    Menerusi pengakuan itu juga, Mueller kini punya sasaran seterusnya dalam kalangan pembantu kanan pemimpin Republikan berkenaan.

    Memetik sumber tidak dinamakan, Washington Post melaporkan bahawa antara pegawai paling kanan yang meminta Flynn menghubungi wakil Russia adalah menantu Trump yang juga pembantu kanannya, Jared Kushner.

    "Saya mengakui bahawa tindakan ini adalah satu kesilapan," kata Flynn dalam satu kenyataan selepas penampilan singkat di mahkamah persekutuan di ibu negara Amerika Syarikat.

    Menurut dokumen mahkamah, tuduhan itu biasanya membawa hukuman lima tahun penjara, namun di bawah syarat perjanjian pengakuan, Mueller berkata, beliau mencadangkan hukuman ringan hanya sehingga enam bulan penjara. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Flynn mengaku bersalah menipu hubungan Russia "