• Filipina Nafi, Israel Terus Temberang

    Published: Wednesday, 27 December 2017
    A- A+

    MANILA: Filipina menafikan pihaknya merupakan antara 10 buah negara didakwa bersetuju memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis selepas Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf bandar berkenaan sebagai ibu kota Israel.

    Setiausaha Luar Filipina, Alan Peter Cayetano berkata, Israel tidak pernah meminta pihaknya mengambil tindakan sedemikian.

    “Israel tidak pernah meminta atau menyuruh memindahkan kedutaan kami,” kata Cayetano kepada wartawan GMA News, JP Soriano dalam satu temu bual hari ini.

    Sebelum ini, Timbalan Menteri Luar Israel, Tzipi Hotovely memberitahu stesen radio tempatan, sekurang-kurang 10 buah negara menghubungi negara Yahudi itu untuk membincangkan tentang pemindahan kedutaan mereka.

    Hotovely, bagaimanapun tidak menamakan negara-negara tersebut tetapi menyatakan sebilangannya adalah negara di Eropah.

    Stesen Radio tersebut bagaimanapun memetik sumber-sumber diplomatik sebagai berkata, Honduras, Filipina, Romania dan Sudan Selatan sebagai antara negara yang menimbang untuk berbuat demikian selepas AS dan Guatemala.

    Pada Khamis lalu, dua pertiga anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu kecuali Filipina yang memilih untuk berkecuali, mengundi resolusi untuk menolak keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

    Ketika proses pengundian itu, 128 buah negara menyokong resolusi itu ketika AS, Israel, Guatemala bersama-sama enam buah negara lain iaitu Honduras, Marshall Islands, Micronesia, Nauru, Palau dan Togo menentang.

    Dalam perkembangan yang sama, Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) Filipina ketika diminta mengulas dakwaan itu berkata, pentadbiran Manila sentiasa menyokong dasar penyelesaian dua negara sebagai penyelesaian jangka panjang dalam konflik Israel-Palestin.

    Kenyataan DFA yang dipetik portal Phil Star itu berkata, pendirian itu selaras dengan tindakan Filipina mengundi terhadap Pelan Persempadanan Palestin di PBB pada tahun 1947.

    DFA merujuk kepada cadangan supaya Palestin dipisahkan kepada sebuah negara Arab dan sebuah negara Yahudi dengan status antarabangsa khas bagi bandar Baitulmuqaddis di bawah pentadbiran pihak berkuasa PBB.

    Sementara itu, Republik Czech menarik balik cadangan untuk memindahkan kedutaan negaranya di Israel ke Baitulmuqaddis walaupun pada awalnya Presiden Republik Czech, Milos Zeman menyokong tindakan untuk berbuat demikian.

    Penarikan balik cadangan itu disahkan oleh Ketua Dasar Luar EU, Federica Mogherini. Mogherini berkata, menteri luar Republik Czech berjanji untuk tidak memindahkan kedutaannya ke Baitulmuqaddis selaras dengan pendirian EU yang menganggap bandar itu sebagai ibu negara masa depan Palestin.

    Dalam perkembangan sama, keputusan Guatemala memindahkan kedutaannya telah dikritik Menter Luar Jordan, Ayman Safadi sebagai ‘tidak masuk akal’ dan melanggar undang-undang antarabangsa.-Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Filipina Nafi, Israel Terus Temberang "