• Filipina Lanjut Tempoh Undang-undang Tentera Di Mindanao

    Published: Thursday, 14 December 2017
    A- A+


    MANILA: Kongres Filipina meluluskan permohonan Presiden Rodrigo Duterte bagi melanjutkan undang-undang tentera di pulau selatan Mindanao untuk tempoh setahun lagi.

    Menurut Duterte, ia amat diperlukan untuk meneruskan perjuangan melawan kumpulan bersenjata di rantau itu.

    Lanjutan itu diluluskan Senat dan Dewan Perwakilan pada Rabu.

    Undang-undang tentera mula dilaksanakan Duterte di selatan Mindanao Mei lalu susulan ketegangan yang tercetus di Marawi.

    Menurut jurucakap presiden, Harry Roque keselamatan awam adalah keprihatinan utama kepimpinan negara itu dan meminta rakyat Filipina bersama-sama membanteras kumpulan pemberontak di Mindanao.

    Melalui undang-undang tersebut kuasa diberikan kepada tentera untuk melakukan penangkapan tanpa waran dan pengawasan yang lebih tinggi.

    Pertempuran yang berlaku antara kumpulan pemberontak yang berkaitan ISIS dan pasukan keselamatan Filipina bertahan lima bulan, menyebabkan lebih dari setengah juta kehilangan tempat tinggal dan mengorbankan lebih 1,000 nyawa.

    Oktober lalu Duterte mengisytiharkan Marawi bebas dari cengkaman pengganas, namun bertegas mahu meneruskan usaha yang sama bagi menjejaki saki baki pengganas yang dikhuatiri masih bersembunyi.

    Menurut Duterte, permohonan lanjutan itu dibuat atas cadangan yang diutarakan oleh Angkatan Tentera Filipina dan Polis Negara Filipina, yang mendakwa terdapat maklumat kumpulan militan akan berkumpul semula dan merancang melancarkan serangan baru. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Filipina Lanjut Tempoh Undang-undang Tentera Di Mindanao "