• Ferrari Mampu Pengaruh Pasukan Lain Tinggalkan F1: Marchionne

    Reporter: Azmin Ramlie
    Published: Tuesday, 19 December 2017
    A- A+

    LONDON: Ferrari boleh mempengaruhi pasukan Formula Satu (F1) yang lain supaya meninggalkan sukan berkenaan jika ia berubah menjadi seperti perlumbaan berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), siri NASCAR, kata pengerusinya, Sergio Marchionne.

    Marchionne bagaimanapun berharap perkara itu tidak akan berlaku.

    Bercakap kepada wartawan ketika majlis makan tengah hari pra-Krismas pasukan Itali itu di Maranello, Ketua Pegawai Eksekutif Fiat Chrysler itu berkata, ancamannya sebelum ini yang mahu mengeluarkan Ferrari daripada sukan berkenaan selepas 2020 tidak boleh diambil ringan.

    Beliau turut mengumumkan tarikh 22 Februari depan sebagai tarikh pelancaran jentera pasukan itu bagi musim 2018 dan berkata, Ferrari sepatutnya mencabar kejuaraan selepas menamatkan saingan selaku naib juara kepada Mercedes, tahun ini.

    Marchionne berkata, Liberty Media, syarikat yang berpangkalan di AS dan mengambil alih F1 pada Januari lalu dan menyingkirkan bekas supremo F1, Bernie Ecclestone cuba untuk mengharungi jalan yang sukar.

    Tindakan bos Ferrari itu hadir bagi menjawab pendekatan yang diambil oleh bekas Pengarah Teknikal Ferrari, Ross Brawn yang kini Pengarah Urusan F1 dan pernah menjulang gelaran dunia bersama pasukan Brawn GP pada 2009 sebelum menyertai Mercedes.

    "Perkara yang paling mengganggu saya adalah lelaki yang mempunyai banyak pengalaman seperti Ross Brawn sedang mencari jalan yang bertentangan dengan DNA Formula Satu," kata Marchionne kepada Gazzetta dello Sport.

    "Menjadikan semua jentera sama dan enjin yang murah seperti NASCAR, ia tidak menarik minat kami. Kami perlu mendapatkan jalan penyelesaian yang seimbang bagi masa depan yang memuaskan hati semua orang dan saya fikir kami akan melakukannya.

    "Jika tidak, Ferrari akan menarik diri. Jika mereka (skeptikal) berfikir kami berpura-pura, mereka bermain dengan api."

    Kebanyakan pasukan F1 mempunyai kontrak yang tamat pada penghujung 2020 dan Marchionne berkata, Ferrari mungkin akan mengundurkan diri.

    "Saya fikir Ferrari mempunyai kekuatan untuk mengheret pasukan lain dan mewujudkan kejuaraan alternatif," katanya. - Reuters

    Subjects:

  • No Comment to " Ferrari Mampu Pengaruh Pasukan Lain Tinggalkan F1: Marchionne "