• Feri Karam: Pengawal Pantai Filipina Selamatkan Lebih 250 Penumpang, Anak Kapal

    Reporter: uMieySurianie
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    MANILA: Pasukan pengawal pantai FIlipina pada Jumaat berkata, mereka telah menyelamatkan seramai 252 penumpang dan anak kapal dari sebuah feri yang karam di perairan sebelah timur Manila, lapor Reuters.

    Dalam insiden itu, turut diselamatkan adalah seorang warga Australia bersama isterinya warga tempatan. Lima mangsa yang terkorban juga telah dibawa pulang.

    Pada Khamis, feri penumpang itu telah karam kerana cuaca yang buruk, sekali gus menambahkan lagi statistik kes kemalangan bot di negara tersebut yang terbentuk daripada gugusan 7,000 pulau.

    Seorang jurucakap, Kapten Armand Balilo berkata, pasukan pengawal pantai FIlipina mengesahkan lima kematian manakala 252 orang lagi berjaya diselamatkan.

    “Kesemua penumpang dan anak kapal sudah diselamatkan, namun kami akan menilai semula berdasarkan dakwaan dan aduan ahli keluarga mengenai kehilangan penumpang,” ujar Balilo.

    Feri yang membawa seramai 257 penumpang dan anak kapal itu meninggalkan pelabuhan sekitar jam 9 pagi dan karam sejam kemudian akibat dibadai angin kencang serta dilambung ombak besar.

    Seorang penumpang memberitahu, semua penumpang mula panik apabila feri tersebut mula dimasuki air laut dan senget sebelah, lalu karam. - Awani

    Subjects:

  • No Comment to " Feri Karam: Pengawal Pantai Filipina Selamatkan Lebih 250 Penumpang, Anak Kapal "