• Fenomena Pancuran Meteor Geminids Di Port Dickson

    Published: Tuesday, 5 December 2017
    A- A+


    PORT DICKSON – Balai Cerap Teluk Kemang membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat fenomena pancuran meteor ‘geminids’ dari perkarangan balai itu mulai 13 Disember ini.

    Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Muzamir Mazlan berkata, orang ramai boleh melihat fenomena itu bermula jam 11.30 malam selama tiga hari mulai tarikh tersebut.

    “Fenomena ini dinamakan hujan meteor ‘geminids’ kerana titik asal permulaannya daripada buruj Gemini di langit pada sebelah Utara dan dijangka sebanyak dua meteor akan muncul setiap satu minit.

    “Saya menjemput orang ramai sempena musim cuti persekolahan ini untuk melihat fenomena tersebut di sini dengan hanya mata kasar – tanpa memerlukan teleskop,” katanya lapor Bernama.

    Muzamir berkata hujan meteor pada kali ini juga sangat sesuai dilihat kerana cahaya bulan sangat kurang disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.

    Beliau berkata, berikutan fenomena alam ini, pihaknya akan menganjurkan pertandingan fotografi untuk para pengunjung dengan yuran penyertaan serendah RM10.

    Pertandingan menawarkan hadiah utama RM300.

    “Para pengunjung boleh menghayati fenomena hujan meteor ini sambil mengambil gambar.

    “Mereka yang menyertai pertandingan ini perlu menghantar satu gambar terbaik dengan syarat hanya diambil di perkarangan balai cerap,” katanya.

    Sementara itu, bagi merancakkan lagi kemeriahan menyaksikan hujan meteor di langit Port Dickson, hotel Klana Beach Resort, milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, yang terletak berhadapan Balai Cerap itu menawarkan pakej istimewa buat pelanggan yang menginap di situ dalam tempoh tersebut.

    Pengurusnya Che Dzarudin Che Omar berkata pelanggan di hotel mereka bukan sahaja boleh melihat keindahan pantai dan suasana matahari terbenam malah boleh melihat angkasa lepas menggunakan teleskop yang disediakan di balai cerap.

    Che Dzarudin berkata bagi pelanggan berkenaan, mereka berpeluang memasuki balai cerap secara percuma, sedangkan orang awam yang ingin memasuki balai itu dikenakan bayaran RM25 seorang.

    “Kami mendapat respon yang sangat baik kerana tempahan bilik sudah penuh selepas dua minggu tempahan dibuka,” katanya.-Suaratv

    Subjects:

  • No Comment to " Fenomena Pancuran Meteor Geminids Di Port Dickson "