• Fathia Patut Masuk PPBM Jika Mahu Berpolitik

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR – Nur Fathia Latiff digesa menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memandangkan pelakon itu kini gemar membuat komentar mengenai politik.

    Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sudah tiba masanya Fathia memilih platform sesuai jika beliau mahu meneruskan minatnya dalam politik.

    “Ini juga pernah dilakukan oleh artis seperti Abby Abadi dan Aisyah. Fathia seharusnya lebih berani untuk menyertai parti politik disebabkan jelas kelihatan mutakhir ini komentar Fathia menunjukkan minat beliau menjadi ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Sebelum ini, Fathia dilihat lantang mengkritik dasar dan inisiatif pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan lebih cenderung kepada politik pembangkang menerusi akaun Twitter dan laman sosial lain.

    Zulkarnain juga berkata, Fathia tidak perlu gusar jika beliau memilih untuk menyertai parti politik pembangkang kerana semangat demokrasi di bawah pemerintahan Najib tidak menyekat kebebasan itu.

    “Semua pihak hatta pelakon seperti Fathia bebas menyertai parti politik pembangkang tanpa ada sekatan dan ini tidak sesekali mungkin berlaku semasa Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri dahulu.

    “Semasa Tun Mahathir masih menjadi perdana menteri, siapa sahaja menentang beliau pasti akan menerima padah termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim disingkir dari UMNO dan dipenjarakan serta pemimpin lain ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960,” katanya.

    Fathia juga dinasihatkan membuat bacaan dan kajian menggunakan sumber sahih sebelum membuat sebarang kenyataan mengkriitik keputusan kerajaan.

    “Fathia tidak sepatutnya hanya membaca media terbitan pembangkang yang kelihatan banyak memutar belitkan fakta.

    “Kes 1MDB sebenarnya telah melalui proses siasatan melalui Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan telah dibentangkan di Parlimen menyatakan Najib tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung isu 1MDB,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

    Subjects:

  • No Comment to " Fathia Patut Masuk PPBM Jika Mahu Berpolitik "