• FAM Enggan Terburu-Buru Guna VAR

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat mengambil langkah berhati-hati apabila enggan terburu-buru untuk melaksanakan penggunaan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

    Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, meskipun pada awalnya, pihaknya merancang menggunakan sistem itu namun kini perlu menunggu penilaian menyeluruh oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) terlebih dulu.

    "Kita tunggu dulu selepas Piala Dunia 2018 kerana kita harus dapatkan maklum balas daripada FIFA dan AFC memandangkan sistem ini adalah satu perkara yang baru saja diperkenalkan.

    "Selepas mendapat maklum balas dan kita lihat bahawa sistem ini dapat menyenangkan semua pihak, kita akan melaksanakannya.

    "Namun buat masa ini, saya tidak pasti mengenai tempoh waktu yang tepat untuk kita gunakan," katanya ketika ditemui pada majlis makan pengadil FAM di Kelana Jaya, dekat sini, malam tadi.

    Berdasarkan perancangan awal, FAM bercadang menggunakan VAR dalam Liga M musim 2018, namun badan induk berkenaan menangguhkan hasrat itu kerana mahu melihat terlebih dulu penggunaan sistem itu pada Piala Dunia 2018 di Russia.

    Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Mohd Salleh menjelaskan pihaknya sedang mengumpul maklumat dan membuat kajian terperinci sistem terbabit merangkumi aspek mendapatkan pandangan serta cadangan daripada beberapa pihak profesional termasuk Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBSM).

    VAR adalah sistem video yang membolehkan pengadil melihat semula beberapa insiden yang kurang jelas di atas padang dalam memastikan keputusan yang diambil tepat.

    Sistem ini mula digunakan secara profesional dalam aksi kompetitif di A-League dan Major League Soccer (MLS) sebelum liga ternama di Eropah seperti Bundesliga, Serie A serta Liga Portugal turut memanfaatkan teknologi yang disifatkan berjaya meningkatkan mutu pengadilan. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " FAM Enggan Terburu-Buru Guna VAR "