• Erdogan Gesa Dunia Jangan Peduli Ugutan Trump

    Reporter: Bukan Nama Sebenar
    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    ANKARA/NEW YORK: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) supaya tidak terpengaruh dengan ugutan Presiden Donald Trump untuk memotong pembiayaan.

    Ia berlaku ketika undian penting menolak pengiktirafan Amerika Syarikat (AS) terhadap status Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

    "Saya menggesa seluruh dunia, jangan menjual semangat demokratik anda sebagai balasan untuk pembiayaan kecil," katanya dalam ucapan disiarkan di televisyen Ankara.

    Trump mengugut memotong pembiayaan kepada negara yang menyokong undian usul hari ini dalam Perhimpunan Agung PBB.

    Pengiktirafan AS terhadap status Baitulmaqdis 6 Disember lalu bertentangan dengan kesepakatan antarabangsa dan menjurus bantahan di seluruh dunia Islam.

    Dalam sidang tergempar, Perhimpunan Agung PBB akan membuat keputusan hari ini berkaitan draf resolusi, menegaskan bahawa Baitulmaqdis adalah isu yang perlu diselesaikan menerusi rundingan dan sebarang keputusan berkaitan statusnya tiada kesan perundangan dan perlu dibatalkan.

    Tindakan itu diserahkan kepada Perhimpunan Agung selepas di veto AS pada Majlis Keselamatan Isnin lalu, walaupun 14 anggota lain mengundi memihak deraf resolusi.

    Trump memberi amaran, Washington akan memerhati rapat bagaimana negara lain mengundi, mendakwa mungkin ada tindakan balas daripada negara yang menyokong usul dibawa Yaman dan Turki bagi pihak negara Arab dan Islam.

    Erdogan menuduh Trump membuat ugutan.

    "Bagaimana mereka memanggil Amerika? Tempat asal demokrasi. Tempat asal demokrasi mencari siapa negara di dunia yang boleh dibeli dengan dolar.

    "Mr Trump anda tidak boleh membeli semangat demokratik Turki dengan dolar. Keputusan kami jelas," kata Erdogan.

    Erdogan berkata, beliau percaya, 'dunia akan memberi pengajaran yang bagus kepada Amerika hari ini (Khamis).' - Agensi

    Subjects:

  • No Comment to " Erdogan Gesa Dunia Jangan Peduli Ugutan Trump "