• Enjin Pesawat CN235 Rosak Punca Terhempas

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+

    Kuala Selangor: Kegagalan enjin dikenal pasti punca pesawat CN235 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas pada 26 Februari tahun lalu di kawasan paya bakau di Kampung Asam Jawa, di sini.

    Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, berkata pesawat berkenaan mengalami kegagalan enjin ketika terbabit dalam latihan perbarisan di Pangkalan Udara Subang.

    "Pada masa itu, pesawat berkenaan mengalami masalah teknikal iaitu kegagalan enjin sehingga juruterbang terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan terbabit," katanya selepas ditemui di Program Jiwa Murni di Jeti Sungai Bukit Rotan, di sini, hari ini.

    Affendi berkata, keputusan juruterbang untuk mendarat di kawasan itu juga sangat tepat berikutan ia berada di luar lokasi tempat tinggal penduduk.

    "Dalam tempoh satu minit saja, juruterbang dapat membuat keputusan untuk membuat pendaratan cemas bagi mengelakkan berlaku kehilangan nyawa dan kerosakan penempatan penduduk di situ.

    "Kami puji sifat profesionalisme yang ditunjukkan ketika mengendalikan pesawat ketika dalam masalah. Bukan saja nyawa mereka saja terselamat malah orang lain juga," katanya.

    Program Jiwa Murni yang diadakan semalam adalah rentetan daripada kejadian pagi 26 Februari tahun lalu itu sebagai tanda kasih TUDM kepada penduduk kampung yang terbabit dalam menyelamatkan anggota dan pegawai yang terbabit serta mengeluarkan bangkai pesawat berkenaan.

    Justeru, TUDM membina jeti nelayan baharu di kawasan berkenaan untuk kegunaan penduduk.

    Affendi berkata, pembinaan jeti itu adalah usaha TUDM dengan kerjasama sebuah syarikat swasta Destini Prima Sdn Bhd.

    "Kami membina sebuah jeti yang dikenali sebagai Jeti Sungai Bukit Rotan, Kuala Selangor untuk memudahkan nelayan.

    "Walaupun tidaklah seberapa dengan apa yang mereka sudah buat dalam membantu kami, TUDM akan sentiasa mengenang jasa mereka," katanya.

    Pada 26 Februari tahun lalu, sebuah pesawat pengangkut TUDM, CN235, terpaksa melakukan pendaratan cemas sebelum terhempas di kawasan paya bakau di Kampung Asam Jawa, di sini.

    Bagaimanapun, semua lapan pegawai dan anak kapal itu selamat namun pembantu juruterbang, Kapten Mohd Nurul Azmie Rofdi, patah tangan kiri.

    Pesawat terbabit yang berlepas pada jam 8.30 pagi dari Pangkalan Udara Subang, dikendalikan oleh Mejar Mohd Azri Yaacob dan Mejar Mohd Agizan Jaafar. - BHOnline

    Subjects:

  • No Comment to " Enjin Pesawat CN235 Rosak Punca Terhempas "