• Empat sebab kenapa jualan mi segera di China merosot

    Published: Friday, 22 December 2017
    A- A+


    MUDAH dan murah merupakan dua elemen penting menjadikan mi segera makanan pilihan di China dan juga seluruh dunia.

    Semestinya mi segera sering dipilih menjadi makanan ruji buat pelajar dan pekerja-pekerja yang kelaparan di samping mudah untuk dimakan di mana-mana sahaja seperti di dalam kereta, tepi jalan, dalam kereta api dan lain-lain.

    Laporan Persatuan Mi Segera Sedunia menunjukkan tahun 2013 menyaksikan sebanyak 46.2 bilion paket dijual di China dan Hong Kong namun ia menurun sebanyak 17 peratus, tahun lalu kepada 38.5 bilion paket.

    Situasi ini agak pelik memandangkan pasaran mi segera di negara lain masih lagi stabil berbanding dengan keadaan di China.

    Terdapat empat teori utama mengapa pasaran mi segera di China berubah.

    1. Mahukan makanan yang lebih baik
    Mi segera terlalu mudah untuk dibuat, hanya tambah air dan perencah, sudah siap, pengguna inginkan sesuatu yang lebih baik.

    Wakil Majlis Promosi Perdagangan Antarabangsa China, Zhao Ping berkata bahawa pengguna kini sudah mula mementingkan kepentingan makanan yang lebih sihat dan menyeluruh.

    "Mereka sedar dan berminat untuk menaikkan kualiti hidup berbanding hanya makan untuk mengisi perut," katanya kepada China Daily.

    2. Rumah yang lebih selesa
    Dahulu, pekerja selalunya berasal dari kampung-kampung dan untuk menjimatkan wang, mereka duduk di rumah yang penuh dengan orang menjadikan proses memasak agak sukar.

    Tetapi kini, ramai penduduk luar bandar berpindah ke bandar menjadikan pekerja-pekerja ini tinggal bersama keluarga, keadaan ini menjadikan situasi 'makan' mereka terjamin.

    3. Peningkatan infrastruktur membuatkan tabiat berubah
    Pengangkutan di China sudah ditambah baik menjadikan perjalanan semakin selesa dan cepat seperti kereta api dan kapal terbang.

    Kalau dahulu perjalanan yang panjang serta tiada kemudahan makanan membuatkan ramai yang membawa paket mi segera untuk mengisi perut.

    Selain itu, kemudahan-kemudahan yang ada seperti kafe yang menyajikan pelbagai makanan membuatkan orang tidak terlalu bergantung pada mi segera.

    4. Telefon pintar dan internet, satu lagi bentuk 'makanan segera'
    Kira-kira 730 juta orang di China mempunyai telefon pintar dan 95 peratus daripadanya menggunakan kemudahan internet.

    Kini terdapat banyak aplikasi yang menawarkan penghantaran makanan ke rumah atau pejabat, walaupun harganya lebih mahal daripada satu paket mi segera namun ia masih boleh dikategorikan sebagai murah dan lebih lazat.

    Hanya dengan satu panggilan telefon atau klik di internet, sudah boleh dapat makanan yang diidamkan.

    Peningkatan taraf kehidupan kini menjadikan orang ramai turut ingin menikmati kadar hidup yang lebih selesa dan terjamin,berbeza dengan satu ketika dahulu yang kekurangan serba-serbi menjadikan mi segera satu 'kemewahan' bagi mereka yang tidak berkemampuan.-SH

    Subjects:

  • No Comment to " Empat sebab kenapa jualan mi segera di China merosot "