• Elit Arab Saudi Tawar Wang Untuk Bebas

    Published: Wednesday, 6 December 2017
    A- A+

    RIYADH: Kebanyakan tokoh elit ditahan dalam operasi antirasuah di Arab Saudi menawarkan penyelesaian wang tunai sebagai pertukaran kepada pembebasan mereka, sebulan selepas dikurung dalam hotel lima bintang, kata peguam negara, Sheikh Saud al-Mojeb, semalam.

    Puluhan tokoh berprofil tinggi termasuk putera, menteri dan hartawan ditahan di Hotel Ritz-Carlton di Riyadh, yang menjadi penjara mewah sementara dalam operasi terbesar di negara itu.

    Kira-kira 320 orang dipanggil untuk disoal siasat dan 159 kini ditahan, kebanyakannya bersetuju membuat 'penyelesaian' atau menyerahkan apa yang didakwa diperoleh secara haram kepada perbendaharaan Arab Saudi, al-Mojeb.

    "Perjanjian penting sedang dimuktamadkan untuk merumuskan penyelesaian seumpama itu," kata Mojeb dalam kenyataannya.

    Sebelum ini, berkata beliau menganggarkan sekurang-kurangnya AS$100 bilion (RM400 bilion) hilang dalam penyelewengan dan rasuah sejak beberapa dekad lalu.

    Kenyataan terbaru Mojeb selepas bekas ketua Pengawal Kebangsaan dan pernah dilihat sebagai calon pewaris takhta, Putera Miteb bin Abdullah, dibebaskan minggu lalu susulan penyelesaian dilaporkan melebihi AS$1 bilion (RM4 bilion).

    Sebahagian penganalisis melihat penyingkiran Putera Miteb sebagai cubaan Putera Mahkota Putera Mohammed bin Salman, yang juga Menteri Pertahanan, untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas perkhidmatan keselamatan. - AFP

    Subjects:

  • No Comment to " Elit Arab Saudi Tawar Wang Untuk Bebas "